Peniaga kelengkapan ibadah korban tak menang tangan
KOTA BHARU - Peniaga kelengkapan korban seperti pisau, pisau lapah, golok, parang, kapak dan batu asah di Pasar Siti Khadijah di sini tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan sebagai persediaan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, Ahad ini.
Seorang peniaga, Faridah Lokman, 48, berkata, permintaan terhadap kelengkapan itu bertambah setiap kali tibanya Aidiladha.
"Masuk sahaja 1 Zulhijah, saya akan membawa masuk stok-stok baharu untuk dipilih oleh pelanggan. Pisau antara barangan yang mendapat permintaan tinggi.
"Jenis-jenis pisau yang sering dicari oleh orang ramai iaitu pisau sembelih, lapah dan hiris daging," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, kapak dan batu asah turut mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan yang berkunjung ke gerainya.
Katanya, kesemua kelengkapan dijual bermula RM40 hingga RM200 sebilah.
Seorang lagi peniaga, Irfan Ripin, 18, berkata, memang menjadi trend masyarakat setempat dan perantau yang pulang ke kampung untuk mendapatkan peralatan baharu setiap kali raya korban.
"Kebiasaannya pelanggan saya ialah lelaki. Walaupun tahun ini harga kesemua peralatan tersebut naik sebanyak 50 peratus namun permintaan tetap ada," katanya.
Menurutnya, sebelum ini harga sebilah pisau lapah hanya sekitar RM30 namun kali ini mencecah RM40 sementara golok RM200 berbanding sebelum ini RM120 sebilah.
Dia berkata, harga batu asah turut mencatatkan kenaikan iaitu RM18 daripada RM15.
Sementara itu, pelanggan, Kamarudin Abdullah, 52, berkata, sudah menjadi rutin dia mendapatkan pisau lapah dan kapak baharu untuk ibadat korban.
"Kalau orang perempuan beli baju baharu setiap kali raya, tapi kami kaum lelaki lebih suka menambah koleksi pisau, parang, kapak dan lain-lain.
"Semua ini penting bagi melancarkan urusan penyembelihan, lapah daging dan sebagainya," katanya.
Malah katanya, menjadi satu kebanggaan apabila dapat menayangkan peralatan baharu kepada rakan-rakan semasa ibadah korban dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!