Minyak masak peket diseludup, pengkhianat kaut untung

Minyak masak peket dari Malaysia yang dijual secara berleluasa di pekan Sungai Golok, Thailand.
Minyak masak peket dari Malaysia yang dijual secara berleluasa di pekan Sungai Golok, Thailand.
A
A
A

PUTATAN - Minyak masak peket bersubsidi yang diperoleh di Sabah menerusi 36 syarikat yang diberikan lesen oleh kerajaan untuk pembungkusan semula bahan itu sepatutnya mampu menampung keperluan rakyat di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, setiap bulan Sabah memperoleh sebanyak lima juta peket minyak bersubsidi dan sepatutnya ia cukup untuk kegunaan rakyat Sabah terutama golongan sasar.

"Jika mengikut perkiraan kerajaan kegunaan minyak masak bagi setiap seorang adalah sebanyak 1.5 kilogram. Kita ada 5,200 metrik tan minyak masak jadi kalau satu kilogram ertinya kita ada lima juta peket sebulan di Sabah.

"Penduduk di Sabah ada empat juta dan bukan semua berpendapatan rendah. Ada yang mungkin tidak menggunakan minyak masak peket atau minyak sawit, mereka menggunakan minyak bunga matahari atau minyak zaitun dan sepatutnya bekalan mencukupi," katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan lembu korban sumbangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat di pekarangan Majlis Daerah Putatan, di sini, pada petang Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini supaya kerajaan Persekutuan dapat menambah kuota syarikat yang melakukan pembungkusan minyak masak peket bersubsidi bagi menampung isu kekurangan bahan itu untuk rakyat Sabah.

Beliau bagaimanapun berkata, punca kesukaran rakyat Sabah terutama golongan sasar mendapatkan bahan itu adalah disebabkan ketirisan akibat aktiviti penyeludupan ke luar negara.

"Antara punca kenapa kita menghadapi kesukaran untuk mendapatkan minyak masak bersubsidi adalah disebabkan pengkhianat yang telah menyeludup minyak masak tersebut untuk dijual ke negara jiran bagi mengaut keuntungan disebabkan harga minyak sawit yang tidak bersubsidi lebih tinggi berbanding RM2.50.

"Jadi cabaran utama yang sedang dibanteras sebaiknya oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan penguat kuasa yang lain adalah tentang penyeludupan dan penyelewengan," katanya.

Beliau yang juga ADUN Tanjung Keramat turut menasihatkan pengguna supaya melaporkan kepada KPDNHEP jika minyak masak peket bersubsidi dijual lebih mahal daripada harga yang telah ditetapkan iaitu RM2.50.

"Kita minta orang awam laporkan kepada KPDNHEP dengan bukti agar siasatan dan tindakan susulan dapat diambil," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan peniaga di Pasar Awam Putatan mendakwa terpaksa menjual minyak masak peket dengan harga lebih mahal iaitu RM5 sebungkus selepas mendapat bekalan menerusi orang tengah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!