Bahana pencemaran alam
PENCEMARAN yang berlaku di Pasir Gudang telah menimbulkan seribu satu persoalan daripada penyelesaian buat masa ini.
Mengikut statistik, pencemaran yang paling teruk adalah udara yang disumbangkan oleh penggunaan kenderaan menghasilkan karbon dioksida iaitu 70.4 peratus diikuti loji kuasa yang menggunakan diesel dan arang iaitu 24.5 peratus diikuti sisa kumbahan industri sebanyak 2.9 peratus.
Keseluruhannya pencemaran yang terhasil adalah 3.2 juta tan atau meningkatkan suhu di Malaysia antara 1 - 1.5 darjah Celsius setahun.
Situasi ini mengakibatkan peningkatan kes penyakit industri dan ketidaksuburan tanaman di sekitar kawasan industri tersebut dalam lingkungan radius 30 km.
Faktor ketidaksuburan tanaman khususnya kualiti hasil tanaman komoditi berlaku kerana hujan mengandungi peratusan karbon yang tinggi dan berasid. Hujan karbon tidak memberi kesan kepada kulit manusia tetapi memberi kesan ke atas tanah tanih.
Akibatnya, penghasilan tanaman komoditi menjadi kurang berkualiti walaupun bertan-tan baja digunakan. Faktor lain adalah udara telah diliputi oleh karbon dioksida, akan menyebabkan proses fotosintesis menjadi lambat. Seterusnya pokok-pokok tanaman menjadi kurang bermaya walaupun kelihatan subur disebabkan penggunaan baja.
Dalam satu kajian yang dilakukan pada 2013 di 52 lokasi seluruh Malaysia, Johor adalah antara negeri paling teruk dicemari disebabkan berlaku jerebu dengan pengukuran API 663 berbanding negeri-negeri lain. Jerebu yang sering kali berlaku di negara ini perlu dikaji semula.
Terdapat kajian lain menunjukkan jerebu turut disumbangkan sebahagiannya oleh negara ini terutama pelepasan gas karbon dioksida. Di sini timbul persoalan bagaimana sesebuah industri kilang dibenarkan beroperasi tanpa ada pemantauan dan pengawalan yang tegas. Apa yang berlaku di Pasir Gudang baru-baru ini bukan berlaku pada hari kejadian tetapi telah lama.
Cuma pada hari kejadian, paras pembuangan sisa kumbahan melebih had yang sepatutnya. Ditambah pula dengan fenomena cuaca kering, berangin dan hujan menyebabkan situasi tersebut menjadi semakin parah. Tidak dapat dinafikan, ada kalanya terdapat kilang-kilang haram beroperasi dan terlepas daripada pengawalan pihak berkuasa.
Maka timbul persoalan jika kilang yang menjadi punca pencemaran di Pasir Gudang boleh terlepas daripada pemantauan tegas kerajaan, adakah terdapat kilang-kilang lain yang mampu membolosi kawalan dan pemantauan tersebut?.
Adakah setakat krisis di Pasir Gudang sahaja, bagaimana pula di Lembah Klang dan Pulau Pinang? Rakyat pasti tertanya jika pencemaran ini mampu merebak bukan setakat udara tetapi juga melibatkan sungai yang membekalkan air minuman.
Adakah kualiti air minuman bebas daripada komponen-komponen tertentu yang tidak mampu dirawat. Adakah proses terawat air minuman melibatkan kos yang tinggi dan siapa pula yang harus menangggung kos tersebut? Ini adalah kerana bahan kimia bertoksik memerlukan teknologi air terawat yang berlainan dengan kebiasaan proses air terawat digunakan.
Andai kata kita mampu melaksanakan larangan merokok yang tegas di gerai makanan dan minuman sehinggakan perokok ditangkap dan didenda tanpa mengira waktu, maka sepatutnya undang-undang yang lebih tegas perlu digubal untuk menangani pencemaran alam sekitar. Yang mana lebih berbahaya kepada rakyat negara ini?
Bahan-bahan buangan seperti xylene, trichlorethane dan Freon sering kali digunakan oleh industri pembuatan dan tidak mampu dikitar semula. Bahan-bahan ini pula telah lama digunakan sejak tahun 1990-an dan masih lagi beroperasi disebabkan kelompangan penguatkuasaan undang-undang negara ini.
Apa yang menakutkan adalah Malaysia antara salah sebuah negara hab pembuangan sisa bahan bertoksik. Kenapa Malaysia menjadi pilihan seperti krisis kilang Lynas di Kuantan. Begitu juga isu bauksit di Kuantan. Yang merana adalah penduduk setempat terpaksa menanggung bahana pencemaran tersebut.
Kesedaran larangan merokok adalah lebih utama daripada kesedaran akibat bahana pencemaran alam sekitar. Ini kerana rakyat terpaksa menanggung antaranya peningkatan suhu, pengurangan hujan dan yang lebih utama peningkatan kes-kes kanser yang disebabkan radiasi daripada bahan-bahan bertoksik.
Bajet tahunan untuk penjagaan alam sekitar bermula tahun 2018 bukan lagi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan sepenuhnya. Ia dikongsi bersama antara negeri dan Persekutuan. Peruntukan bajet pembangunan dan pengurusan alam sekitar bagi tahun 2014 adalah RM2.362 bilion meningkat kepada RM2.527 bilion pada tahun 2018.
Peruntukan ini adalah paling kecil berbanding bajet untuk sektor lain. Gaji penguatkuasa di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) serta Jabatan Alam Sekitar adalah rendah.
Isu ini perlu ditangani bagi mengelakkan gejala rasuah yang menyebabkan kegiatan pembalakan haram dan penerokaan hutan berleluasa. Jadi tidak menghairankan pencemaran terus berlaku akibat daripada kelemahan penguatkuasaan.
Yang lebih utama adalah pembangunan ekonomi industri daripada pembangunan alam sekitar yang mampan untuk kualiti kehidupan rakyat.
* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!