'Bangun malam beribadat, mampu bina kekuatan lebih besar'

Amirahman sewaktu mengalunkan ayat suci al-Quran dari Surah Al-Sajdah dan Surah Al-Hajj.
Amirahman sewaktu mengalunkan ayat suci al-Quran dari Surah Al-Sajdah dan Surah Al-Hajj.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemilihan Surah Al-Sajdah dan Surah Al-Hajj dilihat sangat signifikan dengan tema Arafah #QuranHour 1443H iaitu Haji Membina Umat Bertakwa.

Qari, Amirahman Abas berkata, Surah Al-Sajdah misalnya, menceritakan bagaimana seseorang yang mampu bangun malam untuk beribadat, akan menggalakkan dirinya untuk membina kekuatan yang lebih besar.

Kekuatan itu katanya, tidak ada pada mereka yang tidak mampu bangun malam untuk beribadat kepada ALLAH SWT.

“Selalunya kita hanya fokus pada tahajud tapi kesan besar yang kita tak nampak adalah refleksnya pada kehidupan seharian.

“Kita lebih nampak kepada nak kejar pahala untuk akhirat sahaja tetapi sebenarnya ia memberikan kita motivasi untuk bangun awal sebab ia ada kesan yang besar untuk kejayaan diri di dunia dan akhirat.

“Ayat-ayat surah Al-Sajadah dan Surah Al-Hajj cukup indah kerana ia banyak memberikan motivasi untuk kita bergerak ke depan dalam kita menjalani kehidupan kita seharian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjayakan program Arafah #QuranHour 1443H: Haji Membina Umat Bertakwa yang diadakan di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Sabtu.

Pada tahun ini, program Arafah #QuranHour berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal mengangkat Surah Al-Sajdah ayat 15 dan Surah Al-Hajj ayat 18 dan 77 untuk mengajak seluruh manusia bersujud kepada ALLAH SWT.

Ia dikendalikan hos, Hifdzi Zaim Zamri yang juga Hos TickTalk TV manakala bacaan ayat pilihan Surah Al-Sajdah dan Surah Al-Hajj dibimbing oleh Qari Amirahman Abas.

Sesi tadabbur pula dijayakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Pusat Bahasa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abdulllah Bukhari Abdul Rahim dan Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Azlan Shah, Dr. Mohd Shafiq Sahimi.

Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub turut tampil dalam sesi Pesan Tokoh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!