Culik bekas kekasih: Tukang gunting rambut direman empat hari
SHAH ALAM - Seorang tukang gunting rambut yang ditahan pada Jumaat kerana menculik bekas kekasihnya direman empat hari bermula Sabtu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, perintah reman berkenaan dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Shah Alam, M Mageswary.
Menurutnya, hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Siasatan kini dilakukan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan seorang tukang gunting bertindak nekad menculik bekas kekasihnya itu bersama anak mangsa di hadapan sebuah tadika di Seksyen U12 di sini pada Khamis.
Suspek yang berusia 26 tahun berkenaan akhirnya ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk menyerah diri sekitar jam 10.10 pagi pada Jumaat.
Semasa menyerah diri, suspek hadir bersama mangsa dan anaknya di mana kedua-duanya berada di dalam keadaan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!