3,570 keluarga asnaf di Sabah bakal terima daging korban
KUALA LUMPUR - Seramai 3,570 keluarga asnaf di Sabah bakal menerima daging korban melalui program Ibadah Korban bersama Mufti Negeri Sabah pada Ahad.
Program anjuran Yayasan Ikhlas dengan kerjasama Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Sabah akan melaksanakan ibadah korban berkenaan di Ranau dan Sandakan.
Pengurus Kempen Korban Ikhlas, Mustafa Kamaruddin berkata, pelaksanaan ibadah tersebut hasil penyertaan seluruh rakyat Malaysia dengan lokasi agihan korban di Ranau, Kuala Penyu, Kota Kinabalu, Semporna, Sandakan, Kota Belud dan Kudat.
"Alhamdulillah, tahun ini Yayasan Ikhlas mendapat kerjasama daripada Pejabat Mufti Sabah dan dengan kehadiran Mufti Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar pastinya dapat menceriakan lagi umat Islam yang tinggal di pedalaman. Mufti (Bungsu) juga akan turut melaksanakan sendiri ibadah korban di dua lokasi iaitu di Ranau dan Sandakan.
"Fokus agihan daging korban adalah di kawasan pedalaman bagi membantu saudara Islam yang susah dan tidak berkemampuan merasai daging korban,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, seramai 16 petugas Yayasan Ikhlas dari Semenanjung dan Borneo akan berkumpul di Ranau pada esok bagi persiapan pelaksanaan ibadah korban.
"Ibadah korban adalah satu daripada syiar Islam, inilah masa ukhuwah islamiah dapat diangkat dengan menyantuni saudara mualaf serta masyarakat fakir dan miskin tanpa mengenal latar pekerjaan, tempat tinggal, kaum dan agama,” katanya.
Selain meninjau operasi ibadah korban di Sabah, Mufti Sabah juga akan melawat Surau Al-Falah, Maahad Tahfiz As-Sobirin di Kampung Sosondoton, Ranau bagi melihat perkembangan pembinaan yang sedang dilaksanakan di bawah projek Demi Surauku oleh Yayasan Ikhlas yang dilancarkan Ramadan lepas.
Yayasan Ikhlas menyeru masyarakat Malaysia yang berkemampuan dengan peluang sentiasa terbuka untuk mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban sepanjang kempen berlangsung,
Tarikh tutup penyertaan Korban Ikhlas adalah pada 10 Julai 2022 dan penyertaan boleh dibuat menerusi korbanikhlas.com atau hubungi talian 010-3030 530 untuk maklumat lanjut.
Dalam pada itu, Yayasan Ikhlas dalam kenyataan sama memaklumkan kerjasama pihaknya bersama Jabatan Mufti Negeri Sabah juga melibatkan beberapa projek Yayasan Ikhlas di Borneo antaranya projek Sekolah Agama Rakyat, Bina dan Baik Pulih Masjid serta Projek Air Bersih.
"Antara projek terdekat Yayasan Ikhlas yang dilancarkan bermula tahun hadapan adalah untuk membina Masjid di Kampung Long Pasia, Sipitang, Sabah,” menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!