Hanya mahkamah boleh tentukan kes Najib disiar secara langsung

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyiaran secara langsung perbicaraan kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya boleh dilakukan dengan kebenaran daripada mahkamah.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, walaupun perkara tersebut belum pernah dilakukan di negara ini namun itu tidak bermaksud ia tidak boleh dilaksanakan.

"Ini bertepatan dengan frasa yang sangat popular dalam bidang perundangan iaitu keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, malah mestilah dilihat dilaksanakan terutama kes-kes yang melibatkan kepentingan awam.

"Bagaimanapun, mahkamah juga perlu mengambil kira sekiranya terdapat unsur-unsur sensitif yang mungkin tidak sesuai untuk didedahkan kepada umum, jadi hakim akan membuat pertimbangan sama ada penyiaran kes ini secara langsung baik atau sebaliknya," katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyokong supaya perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta disiarkan secara langsung kerana rakyat berhak untuk mendapatkan kebenaran berhubung tuduhan yang dilemparkan kepada dirinya selain dapat membantu ketelusan serta kedaulatan undang-undang.

Nik Ahmad Kamal (kiri) dan Khairil Azmin
Nik Ahmad Kamal (kiri) dan Khairil Azmin

Pada 28 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 April ini untuk perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International yang dihadapi Najib.

Tarikh bicara sehari itu ditetapkan oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika sebutan kes itu. Bagaimanapun, tarikh bicara selanjutnya hanya akan ditetapkan kemudian.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu menangguhkan perbicaraan kesnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Duduk rumah boleh jadi sarkas?: Najib

Perbicaraan kes itu pada awalnya dijadualkan bermula 12 Februari sehingga 29 Mac ini tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac lalu membenarkan permohonan penangguhan.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC.

Kemudian, pada 8 Ogos tahun sama, Najib sekali lagi didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama daripada dana sama milik SRC.

Dalam pada itu, Penganalisis Politik dan Pengamal Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, penyiaran secara langsung perbicaraan adalah amalan biasa di Amerika Syarikat dan United Kingdom terutama melibatkan kes yang ada kepentingan awam.

"Jika ke Najib disiarkan secara langsung, saya rasa bergantung kepada mahkamah kalau mahkamah melihat tiada unsur prejudis kepada kedua pihak mahkamah boleh pertimbangkan.

"Saya lihat dari segi aspek saksi yang mungkin rasa tidak selesa kalau disiarkan secara langsung mungkin ada saksi yang tidak mahu mereka dilihat memberikan kesaksian dalam mahkamah," katanya.

Selain itu, Nik Ahmad Kamal berkata, terdapat kebimbangan apabila kes tersebut menyebabkan berlaku perbincangan atau perdebatan di luar mahkamah mungkin beri kesan yang tidak baik terhadap perjalanan kes sehingga mempengaruhi hakim dan saksi.

"Kalau lihat dari segi kebaikan dan keburukan, saya rasa mahkamah akan buat keputusan mempertimbangkan sama ada kebaikan mengatasi keburukan.

"Kalau siar secara langsung maka ini sejarah bagi Malaysia dalam konteks kehakiman melibatkan kes yang ada kepentingan awam dan jika ia berlaku maka pada masa depan akan mungkin akan dibuat lagi," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!