Jalan Masjid India, Lorong TAR lengang

Jalan Masjid India di sini agak lengang dan ‘lesu’ ketika umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha esok.
Jalan Masjid India di sini agak lengang dan ‘lesu’ ketika umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha esok.
A
A
A

SUASANA sesak sudah sinonim di sekitar Jalan Masjid India dan Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, namun ia agak lengang dan ‘lesu’ ketika umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidiladha, Ahad ini.

Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat di kawasan itu mendapati, hampir kesemua perniagaan membuka operasi masing-masing termasuk pasar raya, gedung tekstil dan kedai pakaian, selain puluhan gerai kecil.

Keadaan yang sama turut dilihat di premis perniagaan di sekitar Jalan Bunus, Lorong Bunus 3, 4, dan 6 serta Jalan Munshi Abdullah yang menempatkan gerai kecil dan sebuah gedung tekstil terkenal.

Pemilik kedai pakaian dan aksesori lelaki dan wanita di Jalan Masjid India, Rizman Yahya, 43, berkata, kunjungan orang ramai sempena sambutan Hari Raya Aidiladha berbeza berbanding ketika mahu menyambut Aidilfitri.

Rizman
Rizman

“Kalau sempena sambutan Aidilfitri, memang meriah dengan kehadiran orang ramai tetapi untuk Hari Raya Aidiladha, jualan kami seperti hari biasa sahaja.

“Keadaan ekonomi semasa juga mungkin faktor mereka berjimat cermat dan menumpukan keperluan yang lebih penting, selain mendapatkan pakaian dan aksesori,” katanya ditemui di Jalan Masjid India, di sini.

Pandangan sama turut dikongsi peniaga aksesori wanita di Lorong TAR, Johari Kamarulzaman, 36, bahawa pelanggan biasanya berasal dari luar khususnya dari pantai timur dan pantai barat.

“Peniaga di sini juga mengharapkan ‘orang luar’ datang berbelanja berbanding orang dan penduduk di Kuala Lumpur.

“Bagi kami, pelanggan yang asal luar dan bekerja di Kuala Lumpur mungkin lebih menumpukan perbelanjaan pulang ke kampung berbanding berbelanja di sini,” katanya.

Mohd Sharul
Mohd Sharul

Sementara itu, seorang pengunjung dari Sabah, Mohd Sharul Rosli, 27, mengakui agak terkejut dengan suasana lengang di sekitar Jalan Masjid India dan Lorong TAR kerana ia tidak seperti yang sering digambarkan.

“Saya datang ke sini untuk mendapatkan keperluan seperti songkok dan tudung untuk isteri bagi menghadiri majlis perkahwinan abang saya pada Isnin ini, sehari selepas sambutan Aidiladha.

“Memang agak terkejut kerana suasana di sini agak lengang. Tidak ramai orang dan jauh daripada sangkaan saya,” kata anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!