Kerja baik pulih siap sepenuhnya

Yogeswaran melihat papan tanda yang sudah dibaiki.
Yogeswaran melihat papan tanda yang sudah dibaiki.
A
A
A

SEREMBAN - Taman Permainan Pinggiran Bayu Mantin sudah boleh digunakan semula selepas lebih setahun terbiar akibat rosak, kata Ahli Majlis Perbandaran Nilai, V Yogeswaran.

Beliau berkata, taman tersebut dibaik pulih selepas beliau membawa masalah berkenaan kepada Majlis Perbandaran Nilai (MPN) pada 2018.

“Saya terima aduan mengenai taman permainan terbiar pada bulan Julai 2018 dan terus membawa masalah tersebut dalam mesyuarat bersama MPN pada bulan Ogos.

“Setelah pelbagai asakan dibuat, akhirnya MPN bersetuju baik pulih taman permainan tersebut dengan melantik kontraktor pada Februari lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penduduk sudah boleh menggunakan taman permainan tersebut tanpa perlu merasa bimbang.

“Hasil tinjauan saya dua hari lalu mendapati taman berkenaan telah siap dibaik pulih.

“Saya puas hati dengan proses baik pulih yang dilakukan MPN itu,” katanya.

Beliau berkata, taman permainan terbiar akibat rosak tidak seharusnya berlaku kerana ia merupakan tempat riadah dan rekreasi penduduk setempat terutamanya kanak-kanak untuk bermain.

Artikel Berkaitan:

Keadaan taman permainan tersebut selepas dibaiki.
Keadaan taman permainan tersebut selepas dibaiki.

“Saya tidak tahu bagaimana taman permainan ini boleh terbiar lama tanpa sebarang penyelenggaraan sejak setahun lalu.

“Jika kawasan ini terbiar dan dipenuhi semak samun, kita bimbang ada haiwan liar yang akan membahayakan penduduk sekeliling,”katanya.

Justeru itu, Yogeswaran mencadangkan agar semua taman permainan di bawah MPN diselenggara sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memastikan kebersihan dan kemudahan taman itu dijaga rapi.

“Kita sudah siapkan taman ini dengan baik, takkan nak biarkan begitu sahaja.

“Sebaiknya sebulan sekali MPN perlu datang bersihkan kawasan taman, jadi tak perlu bazirkan duit untuk lantik kontraktor bagi kerja-kerja baik pulih ,” katanya.

Tambahnya, sejak dilantik menjadi ahli majlis, beliau telah menyelesaikan lebih lima taman permainan bermasalah di kawasan Mantin dan Pajam demi kepentingan penduduk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!