Lori rempuh 11 kenderaan disyaki bawa muatan berlebihan
JOHOR BAHRU - Lori yang merempuh 11 kenderaan di Tambak Johor menghala ke Singapura dua hari lepas, disyaki membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya juga telah membuat serbuan ke pejabat syarikat lori terbabit bagi melihat rekod-rekod penyelenggaraan.
"Siasatan kita meliputi pelbagai aspek dan kita telah buat serbuan ke pejabat (syarikat lori) untuk melihat rekod-rekod dari segi penyelenggaraan lori itu dan sebagainya.
"Begitu juga dari segi kekuatan atau keupayaan lori tersebut, dan kita dapati memang berat (muatan lori itu) adalah lebih,” katanya ketika ditemui dalam Op Lancar di Jalan Tebrau, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes kemalangan melibatkan lori membawa muatan habuk batu itu.
Kamarul Zaman berkata, pemandu lori berusia 34 tahun yang mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik itu, telah direman selama tiga hari bermula pada Jumaat.
Beliau berkata, reman individu itu dijangka akan disambung semula sekiranya kertas siasatan masih belum lengkap.
Lelaki itu ditahan pada 1.15 tengah hari pada hari sama kejadian dan hasil siasatan pihak polis mendapati kemalangan yang berlaku pada 9.25 pagi itu berpunca daripada masalah teknikal yang dialami lori membawa muatan habuk batu berkenaan.
Sebanyak enam kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu merupakan kenderaan tempatan manakala enam lagi kenderaan asing.
Sementara itu beliau berkata Op Lancar sempena Aidiladha yang bermula semalam sehingga 11 Julai, melibatkan penugasan lebih 1,000 pegawai dan anggota polis di negeri ini.
Beliau berkata, operasi itu memfokuskan kelancaran lalu lintas terutama di 30 kawasan yang sering berlaku kemalangan di negeri ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!