Jasad Shinzo Abe tiba di kediamannya di Tokyo

Rakyat mengucapkan takziah dengan mengunjungi lokasi kejadian di mana Shinzo Abe ditembak pada Jumaat. - Foto Xinhua
Rakyat mengucapkan takziah dengan mengunjungi lokasi kejadian di mana Shinzo Abe ditembak pada Jumaat. - Foto Xinhua
A
A
A

ANKARA - Jasad bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang meninggal dunia akibat ditembak semalam (Jumaat) dibawa ke kediamannya di Tokyo pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.

Perdana Menteri, Fumio Kishida turut mengunjungi kediaman mendiang untuk mengucapkan takziah.

Menurut laporan media Jepun, upacara memperingati Abe, 67, akan diadakan pada Isnin manakala pengebumian diadakan keesokan harinya dan dijangka dihadiri waris terdekat.

Parti Demokratik Liberal (LDP), parti yang pernah dipimpin Abe dan parti-parti lain berikrar tidak akan membiarkan insiden itu mengganggu proses demokrasi.

Abe yang menjadi Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Jepun, disahkan meninggal dunia kira-kira lima jam selepas dirawat.

Mendiang cedera di bahagian kanan lehernya apabila seorang penyerang berusia 41 tahun melepaskan tembakan ke arahnya.

Ketika kejadian, mendiang sedang berucap bagi meraih undi untuk calon LDP menjelang pilihan raya Dewan Negara pada Ahad. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!