Lelaki disyaki hasut keganasan terhadap PM Singapura ditahan

Lee Hsien Loong - Foto Eric Lee/Bloomberg
Lee Hsien Loong - Foto Eric Lee/Bloomberg
A
A
A

SINGAPURA - Pasukan Polis Singapura (SPF) menahan seorang lelaki berusia 45 tahun kerana disyaki terlibat dalam menghasut keganasan terhadap Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong menerusi komennya di media sosial.

Pada 8 Julai 2022 kira-kira 3.10 petang, SPF menerima laporan mengenai ancaman yang mencetuskan keganasan terhadap Perdana Menteri di bahagian komen halaman Facebook Channel NewsAsia yang menyiarkan berita mengenai insiden bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe ditembak.

"Melalui siasatan susulan, pegawai dari Bahagian Polis Pusat mengenal pasti identiti pengguna Facebook itu dan menahannya dalam tempoh lima jam selepas laporan dibuat. Sebuah komputer riba, tablet dan empat telefon bimbit dirampas,” menurut SPF di laman sesawangnya.

SPF menyatakan 'siasatan sedang dijalankan'.

Mana-mana individu yang disabitkan dengan kesalahan membuat atau menyampaikan apa-apa hantaran elektronik yang menghasut kepada keganasan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya.

Menurut SPF, pihaknya tidak akan membenarkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan keganasan di Singapura. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!