Harimau Muda layak ke separuh akhir Piala AFF B-19
SKUAD Harimau Muda bawah 19 (B-19) mengesahkan slot ke separuh akhir Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) selepas menewaskan Timor Leste 4-3, malam ini.
Saingan Kumpulan B di Stadium Madya, Jakarta, itu menyaksikan skuad muda kebangsaan memperoleh gol pendahuluan hasil penyudah Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal menerusi sepakan percuma seawal minit kesembilan.
Bagimanapun, pasukan lawan yang diberi jolokan ‘The Raising Sun’ berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-11 menerusi ketua pasukan Cristevao Moniz Fernandes sebelum Adam Farhan Mohd Faizal mencetak jaringan kedua negara selang empat minit kemudian.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras berjaya menambah jaringan ketiga menerusi Muhammad Alif Izwan Yuslan pada minit ke-52, namun skuad Timor Leste jagaan Lee Min Young turut menyumbat gol keduanya hasil jaringan Mario Donasio Quintao dua minit kemudian.
Pada minit ke-63, Adam Farhan sekali lagi meledak gol keempat negara sebelum Mario Donasio tampil membuat gerakan cantik membuahkan hasil jaringan ketiga pada minit ke-76 dan keputusan kekal 3-4 sehingga wisel penamat.
Kemenangan tersebut menyaksikan juara 2018, Malaysia, berada di kedudukan kedua Kumpulan B dengan tujuh mata selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kemboja pada aksi sulung 5 Julai lalu dan mengikat Singapura tanpa jaringan pada Jumaat.
Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan itu, Hassan Sazali berkata, meskipun corak permainan skuad kebangsaan kelihatan positif namun beliau bimbang terhadap barisan pertahanan yang dilihat lemah dalam perlawanan malam ini.
Jelasnya, prestasi skuad muda negara itu bagaimanapun kelihatan meningkat berbanding ketika menentang Singapura pada perlawanan lepas.
"Apa yang merisaukan saya ialah barisan pertahanan, walaupun kita telah menjaringkan gol tapi kita juga bolos dengan cepat.
"Saya lebih memikirkan kadar rehat pemain saya...Saya tidak mencari kemenangan sehingga memaksa pemain,” katanya menerusi klip audio yang dikongsikan kepada media.
Dalam pada itu, Laos kekal di kedudukan teratas dengan sembilan mata walaupun kurang satu aksi, manakala Kemboja dan Timor Leste berkongsi tiga mata, masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat, diikuti Singapura di tempat tercorot dengan satu mata.
Harimau Muda bakal menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Laos dalam satu lagi aksi jam 4 petang (Malaysia) pada Isnin bagi menentukan juara kumpulan sebelum ke peringkat separuh akhir untuk bertemu sama ada Thailand atau Vietnam pada 13 Julai ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!