Adakah Malaysia bakal dapat TPM?

Muhyiddin pada 2 Julai lalu dilapor mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan TPM. - Foto Bernama
Muhyiddin pada 2 Julai lalu dilapor mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan TPM. - Foto Bernama
A
A
A

TANDA tanya adakah negara ini bakal memperoleh Timbalan Perdana Menteri baharu kian berlegar dalam kalangan orang ramai.

Bagaimanapun, ramai beranggapan bahawa buat masa ini tidak sesuai untuk dilantik Timbalan Perdana Menteri memandangkan waktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang semakin hampir.

Perkara itu juga mempunyai asasnya kerana apa yang paling utama pada masa ini oleh kerajaan adalah bagaimana untuk mengatasi kesusahan yang dialami rakyat seperti kenaikan harga barang dan inflasi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Julai lalu dilapor mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pertemuan itu diadakan supaya perjanjian PN dengan Ismail Sabri sebelum ini dapat dipertimbangkan.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, kemudian menafikan ada perjanjian seumpama itu bagi melantik Timbalan Perdana Menteri sebelum Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.

Katanya, jika benar perjanjian itu wujud, mengapa baru sekarang ia dibangkitkan oleh sesetengah pihak ketika ini.

Shahril juga mendakwa pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan dengan mana-mana pihak, termasuk Pas dalam PN.

Selain itu, kenyataan Muhyiddin itu juga menjadi tanda tanya apabila sekutunya dalam PN iaitu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, tidak wujud perjanjian berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri PN sebelum ini.

Sebaliknya, beliau berkata, perkara berkaitan dengan pelantikan Timbalan Perdana Menteri itu dibincangkan antara PN dan Ismail Sabri namun tiada keputusan dicapai.

Pada Sabtu, bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mengesahkan wujud perjanjian antara Pengerusi PN itu dan Ismail Sabri mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Marzuki mendakwa, perjanjian itu disaksikan dua individu penting daripada UMNO dan Bersatu.

Jelas Marzuki, satu fasal dalam perjanjian berkenaan menyebut bahawa dokumen perjanjian yang dipersetujui itu, tidak boleh diterbitkan atau dizahirkan dalam apa-apa bentuk sebaliknya hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!