Karangkraf teruskan tradisi perayaan Aidiladha

Hussamuddin (tengah) dan Muhammad Nasir (tiga dari kiri) bersama beberapa wakil kakitangan Karangkraf dan juga anggota bomba yang terlibat pada majlis ibadah korban pada Ahad.
Hussamuddin (tengah) dan Muhammad Nasir (tiga dari kiri) bersama beberapa wakil kakitangan Karangkraf dan juga anggota bomba yang terlibat pada majlis ibadah korban pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah hampir dua tahun tidak diserikan dengan majlis ibadah korban, Kumpulan Karangkraf pada Ahad tampil meneruskan acara tradisi turun-temurun pada Ahad.

Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, majlis tersebut merupakan acara tradisi syarikat yang diadakan hampir setiap tahun.

Menurutnya, ia bukan sahaja mahu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim, malah memberi peluang kepada kakitangannya yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman merasai suasana ibadah korban.

“Alhamdulillah setelah dua tahun kita tidak dapat melaksanakan majlis ibadah korban, namun hari ini kita dapat hidupkan kembali tradisi turun-temurun kita.

“Memang ini lah tradisi Karangkraf setiap tahun. Kalau Aidiladha kita akan adakan solat sunat, jamuan makan kemudian diikuti dengan majlis korban,” katanya kepada Sinar Harian selepas selesai majlis ibadah korban di pekarangan Kumpulan Karangkraf.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebelum ini syarikat memperuntukkkan sekurang-kurangnya lima hingga 25 ekor lembu untuk dikorban tetapi disebabkan ramai kakitangan pulang ke kampung halaman masing-masing, jadi hanya dua ekor lembu sahaja disembelih.

Aktiviti melapah daging dilakukan secara bergotong-royong.
Aktiviti melapah daging dilakukan secara bergotong-royong.

“Kalau dulu misal kata kita korbankan 25 ekor lembu, lima ekor kita masak dan 20 ekor lagi kita agihkan daging. Tetapi disebabkan ramai kakitangan yang pulang beraya di kampung masing-masing, tahun ini kita agihkan daging sahaja.

“Saya kira lebih kurang 150 orang sahaja kakitangan yang dapat hadir pada majlis ibadah korban tahun ini, termasuk membawa ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah turut mengakui bahawa program yang dianjurkan sememangnya dapat mengeratkan lagi silatulrahim dan ukhwah bukan sahaja ahli keluarga, tetapi juga rakan Karangkraf.

“Kalau kita tengok di Karangkraf, kita memang pelupor kepada kegiatan-kegiatan seperti ini.

"Jadi harapan saya supaya seluruh rakyat Malaysia kembali kepada fitrah masing-masing. Kembali kepada kehidupan bermasyarakat, kekeluargaan dengan penuh ukhuwah dan silaturrahim.

“Kalau kita bersatu, negara kita tentunya akan menjadi sebuah negara yang hebat dan aman damai,” katanya.

Daging ditimbang sebelum diagihkan.
Daging ditimbang sebelum diagihkan.

Sementara itu, Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang pula mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Karangkraf yang masih meneruskan tradisi ibadah korban.

Katanya, tradisi tersebut sudah diwujudkan sejak 10 tahun lalu, sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

“Sebelum ini kita adakan pada hari raya kedua ataupun hari raya ketiga Aidiladha di mana waktu staf bekerja dan ramai tenaga. Tetapi tahun ini ramai yang tidak dapat hadir kerana sebahagian besar pulang ke kampung.

“Bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Karangkraf yang masih meneruskan tradisi ini.

“Kita juga ada pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang menghantar lebih kurang 10 orang anggota. Ada yang datang bersama keluarga. Jadi kita rasa sangat teruja,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!