Budak 3 tahun ditemukan lemas, bayi 18 bulan masih hilang
BEAUFORT - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dilaporkan hilang pada petang Sabtu ditemukan lemas di sebuah anak sungai di Kampung Kuridak Gerama pada Ahad.
Mohd Qyis Azhar Abdul Halim ditemukan pada jam 10.20 pagi oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung kira-kira 500 meter dari rumahnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada jam 5.45 petang Sabtu.
Menurutnya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 24 kilometer dari BBP Beaufort.
"Menurut ibu mangsa, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang sibuk membuat persiapan kenduri dan mangsa didapati telah hilang selain pintu rumah berada dalam keadaan terbuka.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilakukan pada hari yang sama dengan menyelusuri sungai dan kawasan kebun kelapa sawit namun operasi ditangguhkan apabila mangsa tidak ditemui.
"Operasi kemudian disambung semula pada pagi Ahad sebelum jasadnya ditemui di anak sungai dalam keadaan terapung di celah daun keladi dan kangkung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak polis dan seterusnya dibawa ke Hospital Beaufort untuk pemeriksaan lanjut.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 11.40 pagi," katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohammad Hasbullah berkata, SAR mengesan seorang lagi kanak-kanak dilaporkan hilang di Kampung Batu 66, di sini dan SAR masih sedang dilakukan.
"Operasi mencari mangsa menggunakan bantuan dua anjing pengesan dari unit K9 bagi pencarian di darat dan satu lagi di sungai.
"Keluasan kawasan pencarian sejauh dua radius kilometer dan setakat ini mangsa belum ditemui. Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Jude Angel berusia 18 bulan hilang dipercayai tersesat di hutan atau terjatuh ke sungai berikutan kawasan rumahnya berhampiran dengan sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!