Chico Aura tamat kemarau gelaran, Se-Young juarai Masters Malaysia
PEMAIN bukan pilihan dari Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo, akhirnya berjaya menamatkan kemarau tanpa sebarang kejuaraan antarabangsa apabila meraih gelaran Masters Malaysia 2020 di Axiata Arena Bukit Jalil pada Ahad.
Pemain perseorangan lelaki Indonesia itu menampilkan aksi membanggakan dengan menewaskan pemain pilihan kelapan kejohanan, Ng Ka Long Angus dari Hong Kong,22-20, 21-15, pada pertarungan sengit untuk gelaran sulung kejohanan berstatus BWF Super 500.
Pemain nombor ke-45 dunia itu berkata, ia adalah impian yang menjadi kenyataan untuk melakarkan pencapaian terbesar setakat ini sejak mula mewakili pasukan kebangsaan Indonesia pada 2015.
"Saya harap kemenangan ini akan memberi inspirasi kepada saya untuk bermain dengan baik pada kejohanan akan datang dan setanding dengan rakan sepasukan - Anthony Sinisuka Ginting dan Jonatan Christie," kata pemain berusia 24 tahun itu selepas aksi final itu.
Semerntara itu, pemain Korea Selatan, An Se Young muncul juara perseorangan wanita selepas akhirnya menewaskan juara bertahan, Chen Yu fei dari China, buat pertama kali dalam lapan pertemuan mereka sebelum ini.
Se Young menjadi pemain pertama dari Korea Selatan merangkul kejuaraan tersebut selepas menyingkirkan Yu Fei dengan keputusan straight set 21-17, 21-5 dalam tempoh 38 minit.
Pemain berusia 20 tahun dan berada di ranking keempat dunia itu mengakui bahawa sukar untuk mempercayai boleh memenangi final terhadap Yu Fei selepas tewas kepada pemain ranking ketiga dunia itu selama ini.
Saya melakukan banyak kajian tentang permainannya menerusi video lama dan itu banyak membantu saya meningkatkan prestasi menentangnya," katanya yang membuat persediaan menghadapi Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo dari 21 hingga 28 Ogos ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!