Pemuda Orang Asli maut, budak parah dalam nahas tiga kenderaan

Keadaan kereta dipandu Mohd Azizul yang maut dalam kemalangan di Kilometer 52, Jalan Sungai Rengit, Kota Tinggi pada Ahad.
Keadaan kereta dipandu Mohd Azizul yang maut dalam kemalangan di Kilometer 52, Jalan Sungai Rengit, Kota Tinggi pada Ahad.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang lelaki Orang Asli maut dan seorang kanak-kanak parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 52, Jalan Sungai Rengit, dekat sini pada Ahad.

Kejadian pada jam 11 pagi tersebut mengakibatkan lelaki Orang Asli, Mohd Azizul A Rahim yang memandu kereta Proton Wira maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, kejadian itu melibatkan kereta jenis Proton Wira dipandu pemuda berkenaan dengan sebuah kereta BMW dipandu lelaki dari negara jiran, 48, dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 dipandu lelaki tempatan, 36.

"Kemalangan berlaku apabila BMW dari arah Kota Tinggi menghala ke Sungai Rengit hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan serta merempuh Proton Wira yang berada di laluan menghala ke Kota Tinggi.

"Proton X70 yang berada di belakang Proton Wira berada di laluan Sungai Rengit ke Kota Tinggi gagal mengelak lalu dirempuh juga BMW berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Katanya, akibat kemalangan berkenaan pemuda Orang Asli tersebut cedera parah pada kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara penumpang dalam Proton Wira tersebut, katanya, iaitu seorang wanita, 31, cedera pada kaki manakala penumpang lain seorang kanak-kanak, 7, cedera parah pada kepala dan seorang lagi kanak-kanak, 5, cedera ringan pada kepala.

Menurutnya, pemandu BMW, 48, cedera pada kepala manakala tiga penumpang yang juga merupakan warganegara jiran berusia sembilan, 14, dan 15 tahun cedera ringan.

"Pemandu Proton X70 tidak mengalami kecederaan," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Abdullah Mohamad berkata, seramai 15 anggota dari BBP Kota Tinggi dan BBP Penawar dikejarkan ke tempat kejadian.

Abdullah berkata, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Keseluruhan mangsa melibatkan 12 orang daripada tiga keluarga. Semasa kemalangan keadaan cuaca hujan lebat. Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu Proton Wira tersepit dan disahkan maut di lokasi oleh pegawai perubatan yang hadir.

"Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas. Operasi tamat pada jam 12.30 tengah hari," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!