Galak carum Perkeso, rebut 8 manfaat

Peserta bergambar bersama kakitangan Perkeso selepas tamat program, semalam.
Peserta bergambar bersama kakitangan Perkeso selepas tamat program, semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) galak pemandu teksi, bas sekolah dan perkhidmatan seumpamanya agar mencarum dengan agensi berkenaan supaya mereka dilindungi di bawah lapan faedah yang ditawarkan.

Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Perkeso Negeri Sembilan, Halzere Halim berkata, lapan faedah berkenaan ialah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan mayat, pemulihan dan pinjaman pendidikan.

“Skim ini memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kecederaan semasa bekerja selain layak mendapat faedah tersebut.

“Perkara itu termaktub di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 melalui Skim Bencana Pekerjaan,” katanya selepas selesai Program Taklimat Perkeso, di sini, semalam.

Katanya, pihaknya sedia memberi penjelasan berhubung tawaran berkenaan selain boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web Perkeso.

Menurutnya, terdapat 355 pemandu teksi di negeri ini telah membuat caruman dari Januari hingga Mac 2019.

Sementara itu, 17 daripada 26 Ahli Persatuan Pengusaha Pengangkutan Awam Labu Nilai tidak melepaskan peluang untuk mendaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Setiausahanya, Nuremi Aqmal Nor Azman berkata, pihaknya mengakui program taklimat Perkeso yang diadakan mendapat sambutan baik di kalangan ahli.

Artikel Berkaitan:

“Kami menggalakkan agar kesemua ahli persatuan mendaftar dan mencarum dengan Perkeso agar mereka mendapat pelindungan sekiranya ditimpa musibah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!