Dua nelayan ditahan miliki bubu naga

Bot nelayan yang dikendalikan dua kru ditahan Maritim Malaysia selepas didapati memiliki bubu naga yang menyalahi undang-undang. - Foto ihsan Maritim Malaysia.
Bot nelayan yang dikendalikan dua kru ditahan Maritim Malaysia selepas didapati memiliki bubu naga yang menyalahi undang-undang. - Foto ihsan Maritim Malaysia.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Dua nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1.6 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, lelaki berusia 51 dan 53 tahun itu ditahan bersama 35 set bubu naga bernilai RM3,150.

"Bot nelayan terbabit dikesan Maritim Malaysia dalam keadaan mencurigakan semasa rondaan rutin di perairan negeri kira-kira jam 11.57 pagi.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan mempunyai dokumen vesel yang sah namun, memiliki 35 set bubu naga yang disyaki digunakan sebagai alat menangkap ikan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, nelayan terbabit ditahan manakala bot dan alat tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dibenarkan.

"Penggunaan bubu naga bukan sahaja menyalahi undang-undang bahkan menjejaskan ekosistem laut dan sumber pendapatan nelayan tradisional pesisir pantai," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!