Banjir Baling: Hilang tiga nyawa, Aidiladha disambut ala kadar
BALING - Kehilangan tiga ahli keluarga sekali gus dalam tragedi banjir dan kepala air di Kampung Iboi di sini menjadikan sambutan Aidiladha kali ini disambut secara ala kadar.
Abd Rahman Said, 71, berkata, tragedi yang mengorbankan isteri, menantu dan anak tiri itu meninggalkan kesan mendalam buat dirinya serta ahli keluarga lain.
Menurutnya, setiap kali tiba hari raya, arwah akan memasak pelbagai jenis juadah bagi meraikan anak-anak yang akan pulang ke kampung.
"Arwah masak semuanya sedap termasuk rendang, raya ni anak-anak tiri dah rancang pakat nak balik raya sini, tetapi bila dah jadi macam ni, raya macam tak penting lagi, ala kadar saja, tak pun kami ada (sambut) di sini saja (Pusat Pemindahan Sementara) sebab rumah dah hanyut," katanya.
Menurutnya, kepulangan anak tiri kali ini lebih awal dari jangkaan bukan untuk menyambut Aidiladha sebaliknya bagi menguruskan jenazah ibu mereka, Salmah Mat Akib, 53, ipar, Nurul Anis Abu Hassan, 23, dan adik, Khairul Ikwan Nor Azman,14, yang terkorban akibat hanyut bersama rumah mereka dalam tragedi terbabit.
Abd Rahman menceritakan, jelas tergambar keceriaan arwah isteri yang lumpuh di mana tengah hari sebelum kejadian dia berkongsi kegembiraan mengenai kakinya yang semakin pulih.
"Isteri lumpuh dah setahun lebih, dia angkat kaki tinggi menunjukkan dah boleh gerak, seronok mungkin tak lama lagi dah boleh jalan tetapi rupa-rupanya itulah hari terakhir kami bersama sebelum dia pergi buat selama-lamanya," katanya.
Menurutnya, sekiranya diberi peluang, mereka sekeluarga berhasrat berpindah dari tapak lama yang berjarak kira-kira 100 meter dari tebing sungai kerana bimbang dan trauma kejadian berulang.
"Saya mohon kalau kerajaan boleh bantu, kami tak mahu lagi duduk di tapak yang sama, jika ada tempat lain yang lebih selamat, kami sedia pindah, tapak rumah sekarang ni dah jadi laluan sungai," jelasnya.
Sementara itu, anak tiri, Khairul Asyraf Nor Azman, 24, yang juga merupakan suami kepada Nurul Anis menjelaskan, raya Aidilfitri lalu adalah kali pertama dan terakhir beraya sebagai pasangan suami isteri.
Menurutnya, tidak dapat membayangkan pengorbanan isteri yang sedang hamil menjaga dan melindungi ibu mentua sehingga akhir hayat sangat dikasihi.
"Saya tak dapat bayangkan bagaimana keadaan isteri dan ibu ketika dihanyutkan, saat-saat cemas yang mereka lalui bersama dan ditemui dalam berpelukan, sesungguhnya dia seorang isteri yang sangat baik," jelasnya.
Khairul Asyraf bagaimanapun sangat merindukan masakan gulai dan laksa yang pernah dimasak arwah isteri kepadanya.
"Kalau boleh saya juga tak mahu lagi duduk di situ (tapak rumah lama) jika ada tempat lain yang lebih selamat, kami sedia berpindah sebab rumah dah hanyut," jelasnya.
Sementara itu,salah seorang mangsa banjir, Ahmad Lateh, 71, berkata, dia langsung tidak memikirkan tentang sambutan Aidiladha.
Ahmad memberitahu, dia yang kehilangan rumah di pinggir Sungai Kupang yang hanyut dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur pastinya berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai sahaja pada Aidiladha.
"Baju pun orang bagi, kiranya langsung tidak fikir tentang raya dan apa lebih penting adalah hendak tinggal mana selepas ini," katanya.
Bagaimanapun dia tetap redha dan menganggap kejadian banjir berlaku sebagai ujian walaupun kehilangan segala harta benda terutamanya rumahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!