Pengeluaran minyak masak peket akan dirombak: Annuar

Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa pada sidang media sempena Program Korban Perdana dan Akikah 2022 Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan Padang Kala Peringat hari ini. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa pada sidang media sempena Program Korban Perdana dan Akikah 2022 Parlimen Ketereh di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan Padang Kala Peringat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Sistem pengeluaran minyak masak peket bersubsidi akan dirombak sepenuhnya jika aktiviti penyeludupan barangan itu ke negara jiran terus berlaku.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, rombakan itu merupakan salah satu usaha sedang dipertimbangkan pihaknya selepas melihat kerajaan membelanjakan RM4 bilion untuk menampung kos subsidi bahan mentah tersebut.

"Menjadi kerugian kerajaan jika rakyat tidak dapat menikmati subsidi bahan mentah itu disebabkan oleh penyelewengan," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Korban Perdana Peringkat Parlimen Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), pada Isnin.

Menurutnya, walaupun langkah itu akan menjejaskan peluang perniagaan bagi sesetengah orang namun kerajaan tidak boleh berkompromi dengan mengetepikan nasib rakyat.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut mempunyai bukti kukuh berkaitan ketirisan tersebut.

Annuar yang merupaka Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) berkata, semua pekan di sempadan Thailand dilaporkan mempunyai stok bekalan minyak subsidi walaupun dijual pada harga RM7 hingga RM8 dan tidak pernah putus.

"Kebanyakan bahan mentah itu masih berbungkus elok di dalam kotak dan dijual tanpa kawalan.

"Ia bukan penyeludup yang kecil. Kalau datang dalam kotak yang belum buka, ia datang terus dari kilang. Kita sudah membuat penyiasatan dan mendapati ada penglibatan pihak tertentu," katanya.

Tambah Ahli Parlimen Ketereh itu, pada masa ini pihaknya tidak boleh mendedahkan perkara tersebut kerana dibimbangi akan menggangu siasatan.

"Pihak kami akan duduk dengan kesemua 22 pengilang besar minyak masak secara pukal untuk menyampaikan sendiri mesej yang tegas supaya mengikut peraturan ditetapkan oleh kerajaan.

"Jika gagal kami akan mengambil tindakan dengan melakukan rombakan dalam sistem pengeluaran minyak masak peket bersubsidi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!