Buat kaedah kumpul duit kutu laksana korban
SEREMBAN - Seorang penjawat awam menggunakan kaedah mengumpul duit secara kutu untuk melaksanakan ibadah korban buat keluarganya sejak tujuh tahun lalu.
Hasanol Bolkiah Zainal, 40, berkata, kaedah itu digunakan sebagai galakan kepada isteri dan anak-anaknya untuk menyertai ibadah korban pada setiap tahun.
"Sejak tahun 2015 saya didik sekeluarga main kutu buat ibadah korban kerana ia merupakan amalan yang sangat dituntut dalam Islam.
"Saya ada lima anak, tiga daripadanya sudah bersekolah berumur 10,15 dan 16 tahun. Jadi mereka ini saya didik untuk menabung setiap bulan khusus untuk ibadah korban," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, jumlah tabungan setiap bulan itu bergantung kepada harga pasaran lembu dan jika wang yang dikumpul tidak mencukupi, dia yang akan menambahnya.
Jelas Hasanol Bolkiah, bagi dua anaknya yang masih kecil, dia dan isteri yang akan membuat tabungan korban untuk mereka.
"Saya faham anak-anak mana ada sumber pendapatan. Tapi caranya, saya didik mereka untuk menabung duit lebihan belanja yang ada khas untuk ibadah korban.
"Itulah 'pengorbanan' yang mereka perlu buat setiap bulan walaupun pada akhirnya nanti saya juga yang akan tambah duit yang tak cukup," katanya.
Ujarnya, kebanyakan golongan muda tidak memahami erti pengertian ibadah korban itu dilaksanakan dan sekadar mengetahui ia amalan biasa setiap kali Hari Raya Aidiladha.
Oleh sebab itu katanya, penting untuk ibu bapa memberi kefahaman kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi.
"Saya juga akan bawa anak-anak tengok sendiri penyembelihan korban dilaksanakan di masjid dan yang sulung akan turut serta membantu bergotong-royong.
"Apabila sudah selesai semuanya, baharulah kami pulang beraya di Kampung di Rembau," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!