15 maut serangan udara Rusia di Donetsk

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

DONETSK - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan lima lagi cedera akibat serangan udara Rusia di wilayah Donetsk, Ukraine, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan.

Lima mangsa yang cedera berjaya diselamatkan dari runtuhan bangunan lima tingkat di bandar Chasiv Yar, lapor Agensi Berita Ukraine (Ukrinform), memetik kenyataan ketua Pentadbiran Tentera Wilayah Donetsk, Pavlo Kyrylenko, pada Ahad.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 15 orang maut tertimbus di bawah runtuhan bangunan itu.

Empat peluru berpandu yang dilancarkan Rusia membedil penempatan Pivdenny di selatan Chasiv Yar, kira-kira 30 kilometer dari Donetsk.

Serangan berlaku pada Sabtu, 9.17 malam waktu tempatan, kata Oleg Kirnitskiy dari Pusat Media Polis Wilayah Donetsk.

Kirnitskiy berkata, operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan di sekitar runtuhan di Jalan Yujnaya.

"Dua mangsa cuba mendapatkan bantuan dari bawah runtuhan pada waktu pagi," katanya sambil menambah sekitar 35 orang termasuk seorang kanak-kanak masih terperangkap di bawah runtuhan.

Dipercayai empat roket jenis Uragan, senjata yang dilarang digunakan di kawasan awam telah digunakan dalam serangan itu, kata Kirnitskiy.

Hampir 4,900 orang awam terbunuh di Ukraine sejak operasi ketenteraan bermula pada 24 Feb, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Lebih 15 juta rakyatnya terpaksa meninggalkan kediaman mereka, termasuk lebih 8.4 juta melarikan diri ke negara lain. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!