Banjir buruk Afghanistan musnah ribuan rumah penduduk

Penduduk di wilayah Herat antara yang terjejas teruk akibat banjir kilat terburuk yang melanda Afghanistan.- Foto AFP
Penduduk di wilayah Herat antara yang terjejas teruk akibat banjir kilat terburuk yang melanda Afghanistan.- Foto AFP
A
A
A

HERAT - AFGHANISTAN. Penduduk di barat Afghanistan mula menjalankan proses pembersihan susulan banjir buruk yang melanda baru-baru ini.

Hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu menyebabkan banjir kilat di sekurang-sekurangnya lima wilayah barat dan utara Afghanistan.

Banjir yang terburuk dalam tempoh sedekad itu bukan sahaja memusnahkan kediaman penduduk malah turut meragut 35 nyawa.

Akses ke perkampungan terpencil di beberapa bahagian Afghanistan juga dilaporkan terputus akibat banjir.

Di wilayah Herat misalnya, sekurang-sekurangnya 10 daerah terjejas teruk dan penduduk sedaya upaya menyelamatkan harta benda yang tinggal.

"Kami telah kehilangan segalanya di sini, tiada apa lagi yang tinggal," ujar seorang penduduk Herat bernama Bibi Gul yang kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu,seorang lagi penduduk Fazel Ahmad, berkata banjir buruk tersebut turut memusnahkan ternakan penduduk termasuk lembu dan kambing.

Jurucakap Pengurusan Bencana Kebangsaan Afghanistan, Hashmat Bahaduri berkata, secara keseluruhan lebih 3,000 rumah didapati rosak akibat banjir yang melanda selepas kemarau selama bertahun-tahun. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!