BNM ikut undang-undang tentukan kadar OPR
KUALA LUMPUR - Sebarang langkah berkaitan dasar monetari oleh Bank Negara Malaysia (BNM) termasuk kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah bebas dan mengikut undang-undang sedia ada.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan, kerajaan tidak boleh menyelaras keputusan kenaikan OPR tersebut kerana bercanggah dengan undang-undang selain boleh menjejaskan integriti pasaran.
"Kita tidak boleh selaraskan keputusan tersebut kerana ini melanggar undang-undang. Ini penting kerana ia berkaitan dengan kepercayaan terhadap pasaran. Jika terdapat sebarang manipulasi atau campur tangan kerajaan dalam sebarang keputusan dasar monetari, ia akan menjejaskan integriti pasaran.
"Keputusan MPC ini juga bagi mengekang aliran keluar pelaburan dari negara yang akan menyebabkan kejatuhan ringgit yang lebih teruk.
"Kita dapat lihat perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang terus meningkat dan sekiranya OPR kekal, sudah pasti para pelabur akan mengalihkan pelaburan mereka ke sana," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pelancaran pelan tindakan dan laporan kelestarian Edotco 2021 di sini, pada Khamis.
Pada Rabu, BNM menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) keempat tahun ini, mengumumkan kenaikan OPRsebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus manakala kadar tertinggi dan terendah meningkat kepada 2.50 dan 2.00 peratus.
Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata apa yang lebih utama adalah keperluan meningkatkan ekonomi dengan prestasi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar suku pertama tahun ini kukuh pada lima peratus.
Menurutnya, kenaikan OPR itu juga disebabkan oleh perkembangan harga komoditi global akibat konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine serta gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.
Bank-bank pusat di serata dunia juga telah membuat pelarasan dasar monetari bagi mengurangkan kesan tekanan inflasi, termasuk melaksanakan semakan OPR pada kadar lebih pantas, kata beliau.
Tengku Zafrul berkata, walaupun OPR Malaysia meningkat 50 mata asas sejak awal tahun ini, kenaikan tersebut sebaliknya lebih ketara di negara-negara seperti AS sebanyak 150 mata asas; New Zealand (125 mata asas), United Kingdom (100 mata asas), Korea Selatan (75 mata asas) manakala India sebanyak 90 mata asas.
"Kenaikan OPR Malaysia ini juga selaras dengan jangkaan pasaran dan harus dinilai dengan mengambil kira perkembangan terkini serantau dan juga sejarah kadar OPR.
"Setakat ini, kadar 2.25 peratus adalah lebih rendah berbanding OPR sebelum Covid-19 iaitu sekitar 3 hingga 3.1 peratus," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!