[VIDEO] Korban: Sultan Kelantan sembelih charolais satu tan
KOTA BHARU - Menjadi tradisi bagi negeri Kelantan sempena perayaan Aidiladha, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan bersama rakyat menyempurnakan penyembelihan lembu korban di padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di Panji, di sini.
Tahun ini menyaksikan menyempurnakan penyembelihan dua ekor lembu termasuk seekor daripada baka charolais seberat satu tan.
Penyembelihan melibatkan keseluruhan 45 ekor lembu itu berlangsung sempena Majlis Ibadat Qurban Jama’ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bagi Tahun 1443H/2022M pada Isnin.
Berangkat sama ke majis itu, Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra.
Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kesemua daging lembu korban berkenaan akan diagihkan kepada 2,800 fakir miskin di negeri tersebut.
“Agihan dilakukan melalui masjid-masjid dan pegawai Maik yang pergi dari rumah ke rumah kepada mereka yang berhak menerimanya,” katanya Maik juga ada satu lagi acara korban yang dianjurkan oleh sebuah restoran makanan segera membabitkan 11 ekor lembu esok.
Beliau yang juga Yang Dipertua Maik berkata, Maik turut mengadakan program korban membabitkan 72 ekor lembu yang akan diagihkan kepada lebih 4,000 Orang Asli di Kuala Betis di Gua Musang, pada Rabu.
Sementara itu, seorang pengunjung, Zulkiffeli Isa, 46, berkata, dia tiba seawal jam 8.40 pagi dari Mulong untuk menyaksikan sendiri ibadah korban bersama Sultan Muhammad V.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!