Presiden Sri Lanka letak jawatan, rakyat 'kuasai' istana
COLOMBO - [DIKEMAS KINI] Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa pada Isnin telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe berhubung kesediaannya untuk meletak jawatan selepas puluhan ribu penunjuk perasaan nekad menyerbu masuk kediaman rasminya pada Sabtu.
Wickremesinghe yang juga menjadi sasaran kemarahan peserta protes tersebut turut mengambil langkah sama bagi membolehkan kerajaan sementara terdiri daripada kesemua parti mengambil alih pentadbiran negara berkenaan yang kini berdepan krisis ekonomi meruncing.
“Perjuangan kami masih belum berakhir selagi Rajapaksa tidak berundur,” tegas pemimpin pelajar, Lahiru Weerasekara.
Rajapaksa, 73, dikatakan ‘bersembunyi’ di sebuah kapal milik tentera laut di luar pesisir selepas dia akhirnya akur dengan tuntutan peserta protes dan bersedia melepaskan jawatannya pada Rabu sekali gus mengikut jejak langkah abangnya, bekas Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa yang berundur pada Mei lalu.
Insiden menggemparkan itu berlaku pada Sabtu selepas siri demonstrasi berlarutan selama beberapa bulan di negara Asia Selatan tersebut yang dilanda krisis ekonomi terburuk.
Beberapa gambar yang menjadi tular di media sosial turut memaparkan gelagat melucukan kumpulan penunjuk perasaan tersebut termasuk melakukan pelbagai aksi ketika terjun ke dalam kolam renang setelah mereka berjaya menyerbu masuk kediaman mewah tersebut.
Pada Ahad, orang ramai mula mendapat ‘akses penuh’ ke istana presiden tersebut dan ada yang mengambil peluang untuk melakukan ‘lawatan’ ke seluruh kediaman berkenaan serta duduk di kerusi presiden secara bergilir-gilir.
“Hal ini akan berlaku apabila rakyat menggunakan ‘kuasa’ mereka terhadap pemimpin yang masih boleh hidup serba mewah ketika orang ramai berada dalam kesusahan,” kata sami Buddha, Sri Sumeda.
Pasukan keselamatan dikatakan gagal untuk menyuraikan kemaraan ribuan penunjuk perasaan yang membanjiri laluan utama di Colombo hingga mencetuskan insiden pertempuran ganas dan menyebabkan lebih 100 orang cedera.
Ketua tentera, Jeneral Shavendra Silva bagaimanapun tampil menerusi televisyen merayu kepada orang ramai supaya bertenang dan menyelesaikan krisis tersebut secara aman serta mengikut perlembagaan.
Situasi yang semakin meruncing di Sri Lanka turut mendapat perhatian negara antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) dan blok Eropah yang menggesa pemimpin negara bergolak itu supaya bertindak segera menangani keadaan huru-hara tersebut selain memberi tumpuan kepada proses peralihan kuasa secara teratur. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!