Aliran trafik perlahan di beberapa lebuh raya petang ini
Tinjauan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia setakat jam 4.45 petang ini mendapati aliran trafik tinggi dan perlahan sejauh 25 kilometer (km) di persimpangan Karak ke Lentang dan Batu 12 ke Plaza Tol Gombak sejauh 8.8km.
Selain itu, trafik juga dilaporkan perlahan di Pedas Linggi ke persimpangan Port Dickson; Simpang Ampat ke Pedas Linggi; Restoran Jejantas Ayer Keroh ke Simpang Ampat; serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh ke Bukit Gambir.
Trafik juga dilaporkan perlahan sejauh 1.8 km sebelum terowong Menora ke arah selatan, Permatang Pauh ke Perai dan Kuala Kangsar ke R&R Sungai Perak.
LLM menasihati pengguna jalan raya terutama di bahagian timur agar mengikuti Jadual Cadangan Waktu Perjalanan Lebuhraya Utara-Selatan sama ada perjalanan keluar atau kembali ke Lembah Klang sempena cuti perayaan ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/LLMinfotrafik.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!