Hati-hati jangan sampai jadi istidraj
"AKU tak solat, tapi aku berjaya. Jadi tak betullah solat itu membawa kejayaan."
"Dia banyak buat maksiat tetapi kekayaannya tak pernah putus."
Pernah ke kita lalui perkara sebegitu? Jika bukan kita, mungkin orang di sekeliling pernah menghadapinya, bukan?
Walaupun ada yang menganggap kejayaan atau kekayaan itu satu nikmat dan pemberian ALLAH SWT, namun, jangan lupa ia sebenarnya satu ujian dahsyat yang mungkin boleh bertukar menjadi istidraj.
Apa itu istidraj? Ia adalah kurniaan yang ALLAH SWT berikan tanpa putus kepada seseorang walaupun dia bukanlah seorang hamba ALLAH SWT yang taat kepada-Nya.
Malah, dia adalah ahli maksiat yang tegar. Namun, bagi mereka pula, pemberian itu dianggap sebagai nikmat yang melimpah-ruah tanda ALLAH SWT sayang dan cinta kepadanya.
Sesungguhnya, ALLAH tidak pernah menghalang kita mencari kejayaan tetapi cuba kita fikirkan sejenak, sejauhmana ikhlas dan betulnya jalan yang kita ambil untuk mencapai sesuatu kejayaan itu?
Barangkali ada golongan yang menutup aurat, tetapi tidak mengikut syariat agama dan di satu pihak lagi, mereka keluarkan zakat, hatta wakaf juga yang bernilai tinggi tetapi dalam hati masih rasa dia rugi.
Sebenarnya, di sinilah ujian ALLAH pada kita tanpa sedar.
Inilah istidraj dan inilah juga hakikat 'kebencian' Tuhan kepada kita.
Kita sahaja yang tidak sedar akibat lena dibuai dengan anggapan bahawa ALLAH SWT sayang kita.
Ambillah pengajaran dari kisah Qarun iaitu orang yang terkaya ketika zaman Nabi Musa AS. Dialah manusia yang mendapat istidraj daripada ALLAH SWT sehingga kematiannya tidak berpisah dengan harta yang dimiliki.
Akhirnya ALLAH telah menghina kematiannya dengan menenggelamkan ke dalam bumi bersama harta kekayaannya.
"Ya ALLAH...saya sudah terlalu jauh...maafkanlah kekhilafan hamba-Mu ini."
(Sumber: Seindah Sabda Rasul, Muhd Nasruddin Dasuki)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!