Makin ramai jatuh miskin, sakit mental

Tidak mustahil dengan masalah ekonomi dan krisis kos sara hidup yang berterusan akan menyumbang kepada peningkatan kes penyakit mental. - Gambar hiasan. Foto 123rf
Tidak mustahil dengan masalah ekonomi dan krisis kos sara hidup yang berterusan akan menyumbang kepada peningkatan kes penyakit mental. - Gambar hiasan. Foto 123rf
A
A
A

DUA tahun berlalu, pandemik Covid-19 masih ‘menakluki’ sistem kehidupan manusia hingga merencatkan pertumbuhan ekonomi di seluruh dunia.

Bertambah buruk, konflik berterusan Rusia-Ukraine telah menjejaskan rantaian bekalan makanan sehingga menyumbang kepada kadar inflasi terburuk dan kemelesetan ekonomi global.

Malaysia turut terkesan. Harga barang terus melambung tinggi mengundang beban kepada rakyat jelata, yang turut menyaksikan peningkatan kos sara hidup.

Bayangkan jika 10 tahun lalu dengan wang RM100, kita boleh membeli beberapa barangan keperluan di pasar raya, namun kini keadaannya telah berubah walaupun dengan nilai wang yang sama.

Ironinya, dalam tempoh 10 tahun itu juga gaji dan pendapatan rakyat tidak banyak berubah, sedangkan kos sara hidup naik ‘meroket’ sehingga ramai mula jatuh miskin.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, paras kemiskinan negara bertambah melebihi 230,000 isi rumah dengan Sabah, Kelantan dan Terengganu dicatatkan sebagai negeri yang mempunyai kadar pendapatan terendah pada 2020.

Lebih membimbangkan apabila 20 peratus kumpulan isi rumah M40 yang mempunyai pendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 telah beralih kepada B40, manakala 12.8 peratus golongan T20 yang mempunyai pendapatan RM15,000 ke atas bertukar status kepada M40.

Peratusan penurunan pendapatan isi rumah B40 dan M40 lebih besar berbanding T20, masing-masing 15.9 dan 36.9 peratus pada 2020 berbanding 16 dan 37.2 peratus pada 2019.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini menggesa MPN peringkat negeri dibentuk segera bagi melancarkan usaha memulihkan ekonomi bagi mengatasi isu tersebut.

Beliau berkata, jika tidak diberi tumpuan segera akan memberikan kesan besar, antaranya pertambahan kadar kemiskinan.

Bukan sahaja di Malaysia, malah kebanyakan negara membangun sedang mengalami situasi sama. Menurut laporan yang dikeluarkan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP),

peningkatan kadar inflasi menyebabkan 71 juta orang di negara membangun terjerumus ke dalam kancah kemiskinan sejak Mac 2022.

Laporan tersebut turut menjelaskan kenaikan harga itu membuatkan kebanyakan orang di seluruh dunia yang sebelum ini mampu beli makanan untuk sehari kini tidak lagi berdaya berbuat demikian.

Krisis kos sara hidup membawa berjuta-juta orang ke kancah kemiskinan dan kelaparan, selain ancaman pergolakan sosial meningkat dari hari ke hari.

Bukan hanya bergelut untuk hidup, realitinya di Malaysia semakin ramai rakyat mengalami masalah kesihatan mental. Menerusi Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, berlaku trend peningkatan jumlah pesakit yang datang mendapatkan rawatan doktor.

Sebelum pandemik, statistik NHMS 2019 menunjukkan kira-kira 2.3 peratus rakyat Malaysia atau setengah juta orang mengalami gejala kemurungan. Majoriti individu terkesan adalah daripada golongan B40 (2.7 peratus), diikuti M40 (1.7 peratus) dan T20 (0.5 peratus).

Statistik NHMS pada 2015 pula mendedahkan satu per tiga rakyat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas berdepan masalah mental.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan separuh (50 peratus) daripada masalah gangguan mental bermula seawal usia 14 tahun dan tiga perempat daripadanya berlaku pada pertengahan usia 20-an.

Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr Firdaus Abdul Gani berkata, bilangan pesakit yang datang mendapatkan rawatan bagi masalah kesihatan mental sejak pandemik melanda sehingga kini meningkat terutama melibatkan kes kemurungan dan keresahan.

Kajian dalam talian melibatkan 1,554 penduduk Malaysia yang disiarkan ‘Clinical Epidemiology and Global Health’ pada Oktober 2021 mendapati 70 peratus responden mengalami gejala murung sederhana dan teruk selepas gelombang ketiga Covid-19 di negara ini.

Tidak mustahil dengan masalah ekonomi dan krisis kos sara hidup yang berterusan akan menyumbang kepada peningkatan kes penyakit mental. Bukan sahaja cenderung ke arah tingkah laku bunuh diri, malah tahap ketidakmampuan menanggung beban perasaan membawa kepada situasi jauh lebih serius.

Kerajaan tidak seharusnya 'memekakkan telinga' dan 'membutakan mata' terhadap isu yang berlaku, sebaliknya perlu memandang serius isu kesihatan mental serta tekanan emosi rakyat Malaysia kerana ia memberi pelbagai kesan buruk kepada negara.

*Arney Syema Anua ialah Editor Pengisian Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!