Biden makin dibenci rakyat AS
WASHINGTON - Tinjauan pendapat menunjukkan Presiden Joe Biden tidak lagi dilihat sebagai pemimpin yang disukai dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat (AS).
Ia dibuktikan selepas penarafan kelulusan Biden menjunam kepada 29 peratus apabila semakin ramai rakyat negara Uncle Sam itu menunjukkan rasa tidak puas hati terhadapnya akibat lonjakan inflasi dan kenaikan harga petrol yang tinggi.
Tinjauan penjejakan harian dijalankan oleh syarikat pengundian dan analisis dalam talian, Civiqs yang diterbitkan pada Ahad menunjukkan sebanyak 58 peratus pengundi berdaftar tidak berpuas hati terhadap prestasi kerja Biden.
Hanya 29 peratus responden bersetuju dengan cara Biden mengendalikan tugasnya sebagai Presiden AS, manakala 13 peratus lagi responden menyatakan mereka tidak pasti.
Sekurang-kurangnya 66 peratus responden berkulit putih tidak menyokong Biden tetapi beliau tetap popular dalam kalangan warga kulit hitam atau Afrika-Amerika.
Berdasarkan tinjauan Civiqs juga, Biden mempunyai daya tarikan rendah di hampir semua negeri termasuk Delaware iaitu negeri asalnya dengan 54 peratus responden menolak kepimpinan beliau.
Kadar inflasi di AS mencecah paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun dengan harga indeks harga pengguna (IHP) melonjak 8.5 peratus dalam tempoh 12 bulan hingga Mei, demikian menurut Jabatan Buruh AS.
Bulan lalu, harga petrol di AS mencapai rekod tertinggi dengan harga purata di stesen-stesen pam mencecah AS$4.37 (RM19.16) untuk setiap 3.78 liter atau satu gelen.
Malah, kos makanan yang melambung tinggi menambahkan lagi api kemarahan rakyat AS terhadap pentadbiran Biden. - Agensi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!