Henti sebar spekulasi kehilangan Ashraf
GOPENG - Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan meragukan berhubung misi pencarian Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail yang dilaporkan hilang sejak 23 Mac lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, perkongsian laporan sebegitu hanya menyebabkan kegusaran kepada ahli keluarga dan pasukan penyelamat.
"Masyarakat kena faham perasaan waris yang menantikan berita benar, viral-viral berita dan video yang kurang menyenangkan mengenai operasi tidak sepatutnya dihebahkan, jika ada buatlah sebagai simpanan sendiri," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang, hari ini.
Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan pencarian mangsa perlu diperolehi daripada pihak autoriti sama ada polis atau anggota bomba sendiri.
Hari ini, operasi menyelamat (Op SAR) turut disertai 16 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) dari Selangor dan Negeri Sembilan.
Dua kawasan yang menjadi tumpuan pencarian adalah di check point 6 iaitu kawasan kampung dan di check point 10 di sekitar Gua Kandu.
Dalam pada itu, Komander Storm JBPM, Ismail Abdul Ghani menasihatkan mana-mana kumpulan yang ingin membantu misi pencarian perlu membawa kelengkapan pelindung peribadi yang sesuai bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, berdasarkan pemantauan sepanjang sembilan hari operasi mencari digerakkan, terdapat kumpulan yang tidak memakai pakaian sesuai dan hanya berselipar.
"Bukan kata nak menolak sumbangan orang awam, cuma kita nak pastikan mereka yang masuk dapat keluar dalam keadaan selamat. Kita juga nak elak berlakunya insiden selepas insiden.
"Jadi bawalah kelengkapan sesuai seperti memakai kasut, lampu suluh dan bekalan makanan untuk pastikan keselamatan diri sepanjang operasi," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Kehilangan Ashraf: Polis buka kertas siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!