Rezeki berganda buat peniaga lemang

Lemang Mohd Soffian dijual pada harga antara RM12 hingga RM18 bergantung kepada saiz lemang.
Lemang Mohd Soffian dijual pada harga antara RM12 hingga RM18 bergantung kepada saiz lemang.
A
A
A

PERMINTAAN lemang yang tinggi memberi rezeki berganda buat peniaga di kawasan Taman Putra Ampang di sini ketika sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

Menurut peniaga, berbeza ketika sambutan Aidiladha tahun lalu, perniagaan mereka kali ini berjalan lebih lancar menyebabkan mereka tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan.

Peniaga lemang, Mohd Soffian Shahid, 42, berkata, dia bagaikan tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan yang tidak putus-putus datang memenuhi premis perniagaannya itu.

Dijual pada harga antara RM12 hingga RM18 bergantung kepada saiz lemang, Mohd Soffian berkata, hampir 1,000 batang lemang terjual dalam tempoh dua hari pada Sabtu dan ketika Aidiladha pada Ahad.

"Di samping lemang, kami juga ada menjual rendang ayam, daging serta kambing dengan harga berpatutan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di gerainya pada Ahad.

Sementara itu, seorang lagi peniaga lemang, Saiful Lizam Modikon, 50, berkata, selain menyediakan bekalan untuk jualan semasa, mereka juga memenuhi permintaan tempahan orang ramai.

"Dari awal pagi hinggalah ke malam, kawasan ini akan menjadi sesak kerana orang ramai mahu mendapatkan lemang untuk meraikan Aidiladha dan keadaan ini berlaku saban tahun," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga lemang di Kampung Dusun Nanding Batu 12, Mohd Amran, 40, mengakui mereka turut meraih rezeki berganda ketika sambutan Aidiladha pada kali ini.

"Pendapatan bertambah sedikit tahun ini walaupun harga barang mentah naik, sambutan baik ini mungkin kerana kami masih mengekalkan harga lemang antara RM10 hingga RM15 sebatang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!