Wilshere kembali ke pangkuan Arsenal

Wilshere
Wilshere
A
A
A

BEKAS pemain tengah England, Jack Wilshere sah kembali ke pangkuan kelab lamanya Arsenal.

Bagaimanapun, kali ini tugas beliau bersama The Gunners bukanlah sebagai seorang pemain, sebaliknya dilantik untuk mengendalikan skuad B-18.

Perkembangan itu diumumkan sendiri oleh Arsenal sambil memberitahu pemain berusia 30 tahun itu akan bekerjasama dengan pemain muda Arsenal dalam misi membantu meningkat tahap kecemerlangan generasi baharu Gunners dari akademi mereka.

“Ia satu penghormatan besar apabila dipilih menggalas tugas ini. Banyak kehidupan saya dihabiskan di akademi ini yang juga merupakan hari terbaik dalam hidup saya.

“Saya rasa tak sabar untuk membantu meningkatkan tahap pemain muda ini walaupun di luar padang. Ia perasaan istimewa menjadi sebahagian anggota keluarga Arsenal,” katanya.

Pada minggu lalu, Wilshere mengumumkan persaraannya daripada menjadi seorang pemain bola sepak selepas berdepan beberapa siri kecederaan yang menjejaskan kariernya.

Untuk rekod, Wilshere merupakan pemain termuda Arsenal yang diturunkan dalam aksi Liga Perdana ketika berusia 16 tahun dan 256 hari pada 2008 selepas menyerlah bersama akademi belia kelab.

Dia yang dianggap mampu menjadi tonggak Arsenal dan England, tampil cemerlang pada awal karier tetapi kemudiannya kerap dibatasi beberapa siri kecederaan selain berdepan masalah di luar padang.

Wilshere tampil kali pertama dengan England pada 2010, meraih 34 kap dan beraksi pada Piala Dunia 2014 dan Euro 2016.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!