Liga Super Eropah ibarat kartel buku teks

No Image Caption
A
A
A

KESATUAN Bolasepak Eropah (UEFA) menyifatkan tindakan Liga Super Eropah yang memisahkan diri dengan kumpulan kelab elitnya sebagai kartel buku teks, ketika badan induk itu berusaha mempertahankan kuasa dan hak medianya pada perbicaraan di mahkamah tertinggi Eropah.

Peguam UEFA, Donald Slater memberitahu panel 15 hakim di Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (CJEU) yang berpangkalan di Luxembourg, penganjuran liga tertutup oleh Liga Super Eropah diibaratkan kartel buku teks bukan perkembangan positif untuk industri.

"Pemberian kuasa Liga Super akan membawa kepada kemunculan liga tertutup lain sekali gus keruntuhan sistem kejuaraan terbuka pada masa ini.

"Ia bertentangan dengan usaha UEFA menggunakan sebahagian pendapatannya, yang berjumlah 6.5 peratus iaitu 190 juta euro (RM850 juta) tahun ini, untuk mempromosikan bola sepak di Eropah," ujarnya.

Untuk rekod, pertelingkahan antara UEFA, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Liga Super Eropah diperhatikan teliti komuniti sukan lain pada ketika ini.

Liga Super Eropah dibentuk tahun lalu hanya bertahan 48 jam selepas bantahan dalam kalangan penyokong, kerajaan dan pemain yang menyaksikan Manchester United, Liverpool, Manchester City, Chelsea, Tottenham Hotspur, Arsenal, AC Milan, Inter Milan dan Atletico Madrid menarik diri.

Bagaimanapun Real Madrid, Barcelona dan Juventus, masih kekal di bawah Liga Super menyaman UEFA dan FIFA di mahkamah Sepanyol yang kemudiannya mendapatkan rujukan daripada CJEU.

Sementara itu, peguam Liga Super Eropah, Miguel Odriozola menegaskan kepada mahkamah berkata, "Konflik kepentingan UEFA berpunca daripada peranan pengawalseliaan dan perniagaan komersilnya yang menyaksikan ia tidak akan memberi kebenaran kepada pesaing.

"Selama beberapa dekad, UEFA telah memerintah dengan kuku besi dan menewaskan mana-mana kelab yang mengancam monopolinya. Kami telah mengambil tanggungjawab untuk mengecam amalan UEFA," katanya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Eropah dan semua 27 negara EU serta Iceland dan Norway menyokong UEFA dan FIFA.

Mahkamah akan memutuskan kes C333/21 Syarikat Liga Super Eropah tahun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!