1,250 pegawai baharu bomba ditauliahkan tahun ini
PUTRAJAYA - Seramai 1,250 anggota dan pegawai baharu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) ditauliahkan tahun ini bagi mengisi kekosongan jawatan di bahagian operasi dan keselamatan kebakaran, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
Beliau berkata, pentauliahan itu melibatkan 1,000 anggota Gred KB19 dan 250 pegawai bomba Gred KB29 dan KB41 untuk ditempatkan di balai bomba seluruh negara terutamanya balai-balai baharu.
"Ini akan menampung kekurangan selama ini memandangkan tahun 2020 dan 2021 ramai yang telah bersara namun kita tidak boleh buat pengambilan pegawai baharu disebabkan pandemik Covid-19," katanya ketika ditemui media pada Program Ibadah Korban Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bersama Warga Bomba, di sini, pada Selasa.
Majlis Tamat Latihan Pentauliahan Sijil Sains Kebombaan untuk anggota bomba Gred KB19 akan diadakan di tiga Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) iaitu di Sabah pada Khamis ini, Sarawak pada 19 Julai dan Terengganu pada 8 Ogos depan, katanya.
Majlis Tamat Latihan Pentauliahan Diploma Lanjutan dan Pasca Diploma Sains Kebombaan untuk 250 pegawai bomba Gred KB29 dan KB41 pula dijangka dibuat pada November dan mereka akan melaksanakan tugas sebagai penyelia, pengurus dan ketua balai serta ketua unit, katanya.
Dengan pengambilan anggota dan pegawai baharu itu, Mohammad Hamdan berkata jumlah keanggotaan bomba adalah seramai 15,300 orang yang bertugas di 332 balai bomba dan penyelamat di seluruh negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!