Wanita rugi ribuan ringgit kereta dipecah ketika makan tengah hari
SABAK BERNAM - Seorang wanita kerugian ribuan ringgit selepas barangan berharga di dalam keretanya dilarikan penjenayah ketika sedang menikmati hidangan makan tengah hari bersama keluarga di sebuah restoran di Sekinchan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian antara jam 2 hingga 2.30 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 36 tahun berhenti menjamu selera di premis yang terletak di Jalan Persekutuan 5.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku pada jarak lokasi keretanya kira-kira 70 meter dari premis terbabit.
"Pemeriksaan polis mendapati kereta Proton Saga mangsa tidak mempunyai sebarang kesan pecah pada cermin atau kesan umpil," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Agus Salim memberitahu, mangsa mendakwa kejadian itu menyebabkan kehilangan lima beg barangan peribadi selain sebuah beg berisi komputer riba dan iPad miliknya.
Jelas beliau, wanita itu kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Sekinchan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, usaha mengesan suspek terlibat masih giat dijalankan dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta bekerjasama menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan kamiu meminta orang awam sentiasa memastikan kenderaan dikunci dengan rapi sebelum meninggalkannya untuk melakukan sebarang urusan," katanya.
Sebelum ini tular seorang pemilik akaun Facebook mendakwa beberapa barangan berharga hilang di dalam kereta yang ditinggalkannya semasa singgah di sebuah kedai makan di Sekinchan pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!