Wanita, teman lelaki disyaki hina Islam akan dituduh di mahkamah

Tangkap layar video berdurasi 54 saat memaparkan persembahan komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail yang didakwa menghina Islam.
Tangkap layar video berdurasi 54 saat memaparkan persembahan komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail yang didakwa menghina Islam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan terhadap seorang wanita yang didakwa menghina agama Islam dalam satu persembahan komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail, baru-baru ini telah dilengkapkan dan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Peguam Negara pada Selasa untuk menuduh suspek yang berusia 28 tahun bersama teman lelakinya.

Difahamkan, wanita terbabit akan dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

"Kertas siasatan polis telah dirujuk kepada pejabat Peguam Negara pada 12 Julai (Selasa) dan mendapat arahan untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, manakala reman ke atas suspek yang tamat pada hari ini (Selasa) akan disambung sehari sehingga Rabu.

"Manakala teman lelakinya pula akan dituduh di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan teman lelaki suspek ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di ibu negara pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan PDRM telah menerima laporan selepas satu klip video berdurasi 54 saat memaparkan persembahan suspek di mana perbuatannya didakwa menghina agama Islam.

Sebelum itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dilaporkan telah menjalankan siasatan awal berhubung perbuatan suspek dalam persembahan berkenaan.

Video yang tular di media sosial itu menerima reaksi keras dalam kalangan netizen apabila suspek yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum menanggalkan pakaiannya yang menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian yang mencolok mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!