Tidak kompromi pegawai, anggota lindungi aktiviti haram

Mior Faridalathrash (kanan) mengingatkan warga Polis Perak untuk tidak terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang. - Foto ihsan pembaca
Mior Faridalathrash (kanan) mengingatkan warga Polis Perak untuk tidak terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KUALA KANGSAR - Polis Perak tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pegawai atau anggota yang melindungi aktiviti haram termasuk penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ingatan itu diberikan berikutan keselamatan sempadan negara menjadi fokus utama agar tidak mudah dicerobohi hingga menimbulkan suasana yang tidak aman.

Menurutnya, Perak bersempadan dengan Thailand di Pengkalan Hulu serta perairan negara bermula daerah Hilir Perak hingga ke Kerian.

"Tindakan tegas akan diambil kepada warga PDRM Perak sekiranya didapati mendalangi pencerobohan sempadan negara ini dengan menjadi tali barut kepada kumpulan menyeludup PATI.

"Selain itu, penggunaan ganja di Thailand sudah tentu memberi kesan kepada keselamatan di sempadan negara ini. PDRM perlu bersedia dalam menghadapi ancaman terhadap aktiviti penyeludupan dan kemasukan barang terlarang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Lawatan Kerja Ketua Polis Perak ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di Kompleks Perumahan PDRM Kuala Kangsar di sini pada Selasa.

Mior Faridalathrash berkata, ketua polis daerah perlu meningkatkan perancangan dan strategi pencegahan jenayah di kawasan masing-masing.

"Kekuatan anggota yang sedia ada hendaklah digerakkan secara sistematik dan berkesan.

"Selaku agensi yang diberikan kepercayaan oleh kerajaan dan masyarakat, tugas ini perlu diberi perhatian bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman terus berkekalan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!