Banjir Baling: 8.7 hektar tanaman musnah
BALING - Tragedi banjir dan kepala air di Baling turut memusnahkan kira-kira 8.7 hektar tanaman pisang, jagung, serai dan kelapa yang diusahakan penduduk.
Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasruddin berkata, bancian awal kerosakan tanaman itu melibatkan petani di 12 kampung terjejas banjir.
Menurutnya, antara tanaman yang musnah teruk adalah di Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Tok Saba dan Kampung Bendang Becah.
“Daripada keseluruhan tanaman, sebanyak dua hektar tanaman pisang dan jagung manis yang baharu ditanam 40 hari musnah, serai yang ditanam antara dua hingga empat bulan seluas 5.7 hektar turut musnah selain kelapa matang seluas satu hektar,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Azman berkata, masih lagi terdapat kawasan tanaman di kampung berdekatan yang belum dilakukan bancian berikutan terputus hubungan selain tidak dapat dimasuki akibat dipenuhi kayu dan sampah pukal yang dihanyutkan banjir.
“Bancian akan dilakukan dari semasa ke semasa, sebab ada kawasan belum dapat masuk untuk tinjau tanaman yang musnah. Itu adalah anggaran awal selepas tiga hari berlakunya bencana membabitkan pelbagai agensi bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Veterinar,” katanya.
Menurutnya, petani terlibat akan dibantu dengan diberikan dua insentif bantuan bencana atas kerosakan tanaman yang dialami.
“Semua tanaman itu musnah ditenggelami banjir lumpur. Ada pokok serai yang baru ditanam tiga bulan tenggelam terus dan rosak.
“Antara bantuan tabung bencana yang disediakan adalah RM850 per hektar untuk kerosakan tanaman, selain Jabatan Pertanian akan berikan input-input pertanian apabila petani mahu mengusahakan semula tanaman baru,” katanya lagi.
Azman turut memaklumkan, tujuh aduan diterima daripada 43 penternak di mukim Kupang, yang mana melibatkan kemusnahan dua kandang lembu dan sebuah kandang kambing.
“Bancian awal mendapati 27 ekor kambing dan tiga ekor lembu dihanyutkan dan mati, selain dua kandang lembu musnah, anggaran kerosakan sekitar RM80,000. Bantuan awal makanan ternakan disediakan kepada lima penternak seperti dedak dan rumput kering,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas berkata, data kemusnahan tanaman dan ternakan akan dikemas kini sebelum laporan berkenaan dikemukakan kepada agensi berkaitan untuk selaraskan bentuk bantuan.
“Kebanyakan petani yang terlibat sudah lama usahakan ladang tersebut. Antaranya penanam serai yang terjejas sudah pun menuai hasil empat kali sebelum diuji dengan dugaan ini.
“Kerajaan negeri prihatin dengan nasib mereka dan pelbagai bantuan akan disalurkan melalui kerajaan negeri mahupun Persekutuan,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!