Polis ditikam, suspek cedera
KOTA BHARU - Seorang anggota polis terpaksa menerima lima jahitan di lengan kanan selepas ditikam ketika bergelut dengan seorang lelaki dalam serbuan di Taman Sri Sentosa Bukit Bidang Selising, Pasir Puteh pada Ahad.
Kejadian berlaku apabila sepasukan polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bachok melakukan serbuan di sebuah kediaman kira-kira jam 10 malam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, ketika serbuan, pegawai polis memperkenalkan diri namun seorang lelaki yang berada di bahagian dapur rumah bertindak melarikan diri ke pintu hadapan rumah.
Menurutnya, berlaku pergelutan antara anggota polis dan suspek.
"Lelaki itu kemudian bertindak menikam lengan kanan anggota berpangkat lans koperal itu dengan gunting akibat panik rumahnya dikepung sebelum dihalang oleh anggota serbuan lain.
"Suspek yang berusia 35 tahun pula menerima empat jahitan di bahagian kepala, bengkak bahagian pipi sebelah kiri, lebam mata sebelah kiri dan beberapa kesan luka. Anggota dan suspek terbabit menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Bachok," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Zaizul Rizal memberitahu, siasatan awal suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di daerah Bachok dan Pasir Puteh.
Katanya, ujian urin turut mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dan beralamat di Pasir Puteh itu positif methaphetamine selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik.
"Polis turut merampas sebilah gunting dan lelaki terbabit ditahan reman selama empat hari bermula Isnin untuk siasatan kes pecah rumah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.
Bagaimanapun katanya, suspek akan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Pasir Puteh berkaitan kes cubaan bunuh anggota polis di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!