Kerajaan dedah punca kapal Malaysia, MV Polaris dilanggar
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat diberitahu, hari ini bahawa kesilapan manusia menjadi punca utama pelanggaran utama antara kapal pengangkut pukal berdaftar di Greece, MV Piraeus, dengan kapal Malaysia, MV Polaris di perairan negara pada Februari lalu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (PH- Seremban) berkata, menerusi siasatan pihaknya mendapati nakhoda kapal MV Pireaus telah cuai dan gagal mengambil tindakan yang positif dan pematuhan kepelautan yang baik.
"Nakhoda MV Pireaus juga di dapati gagal membuat pemplotan radar serta pemerhatian sistematik bagi memperoleh amaran yang lebih awal tentang risiko berlakunya perlanggaran.
"Selain itu, nakhoda MV Pireaus semasa menghampiri MV Polaris, telah gagal untuk mengambil kira bahawa wujudnya risiko perlanggaran dalam olahgerak kapal beliau sehingga telah menyebabkan berlakunya perlanggaran berkaitan dan nakhoda kapal MV Pireaus telah gagal mengambil tindakan yang berkesan bagi memastikan kapalnya berselisih dengan MV Polaris dengan jarak yang selamat," katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan, di sini, hari ini.
Anthony berkata demikian manjawab pertanyaan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas).
Mengulas lanjut, Anthony berkata, pasukan penyiasat Jabatan Laut Malaysia (JLM) telah selesai menjalankan siasatan pada 12 Mac 2019 dan telah mencadangkan di dalam kertas siasatannya bahawa nakhoda kapal MV Pireaus dituduh telah melakukan empat kesalahan di bawah Perintah Perkapalan Saudagar (Peraturan-Peraturan Perlanggaran) 1984.
"Kesalahan ini boleh dijatuhkan hukuman denda mengikut Seksyen 252(3) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap satu kesalahan," katanya.
Oleh itu katanya, kertas siasatan sedang dimuktamadkan untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor untuk tindakan susulan sama ada untuk mendakwa atau menawarkan kompaun bagi setiap kesalahan kepada nakhoda kapal MV Pireaus.
"Kapal MV Pireaus dan juga semua anak kapalnya telah dibenarkan keluar belayar dari batas Pelabuhan Tanjung Pelepas ke pelabuhan seterusnya pada 12 Mac 2019.
"Bon jaminan sebanyak RM1 juta dalam bentuk jaminan bank telah didepositkan oleh pemilik kapal MV Pireaus ke Jabatan Laut bagi tujuan memastikan bayaran kompaun dan juga gantirugi atas kerosakan yang dialami MV Polaris.
Pada 9 Februari 2019, kapal MV Pireaus dilaporkan dalam perjalanan dari Newcastle, Australia dengan membawa muatan sebanyak 74,415 metrik tan arang batu ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di terminal janakuasa Tanjung Bin.
Sebelum kapal MV Pireaus tiba di perairan Tanjung Pelepas, kapal tersebut dilaporkan telah memasuki ke Pelabuhan Singapura untuk mengisi bahan api (bunker).
Manakala, MV Polaris merupakan kapal milik Jabatan Laut Malaysia (JLM) jenis buoy tender vessel dan didaftarkan di Port Klang. Kapal ini telah berlabuh di dalam kawasan Had Pelabuhan Johor Bahru semenjak November 2018. MV Polaris berfungsi meningkatkan prestasi pengoperasian alat bantuan pelayaran di perairan negara.
Berdasarkan laporan siasatan awal oleh JLM, pada 9 Februari 2019, jam 1426, MV Pireaus dilaporkan telah melanggar (menggeser) MV Polaris yang sedang berlabuh pada kedudukan Latitut: 01° 14.06 N dan Longitut: 103° 35.30 E di dalam Had Pelabuhan Johor Bahru dalam perairan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!