LHDN tak pernah kerjasama agensi untuk sahkan tunggakan
SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan orang ramai bahawa pihaknya tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana ibu pejabat balai polis atau agensi penguatkuasaan lain bagi tujuan pengesahan tunggakan cukai.
Bahagian Komunikasi LHDN dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak terkecuali dikaitkan dengan scammer sehingga menyebabkan orang ramai keliru dan tertipu.
"Perbuatan scammer oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini sememangnya berniat jahat untuk menipu mangsa sekaligus menjatuhkan imej serta reputasi LHDN sebagai agensi pentadbir cukai kerajaan yang berintegriti.
"Berdasarkan rekod LHDN, bermula Januari 2022 sehingga tempoh ini, sebanyak 162 peringatan serta 12 hebahan berbentuk infografik berkaitan aktiviti penipuan scammer telah dimuat naik melalui saluran media sosial LHDN iaitu Facebook, Twitter dan Instagram," katanya pada Selasa.
LHDN turut memberikan contoh beberapa modus operandi (MO) yang sering dilakukan oleh sindiket ini bagi memperdayakan mangsa.
Menurutnya, antara MO itu ialah seperti kes tunggakan cukai atau pelarian cukai di mana mangsa menerima mesej, panggilan telefon, surat atau emel daripada sindiket yang memaklumkan bahawa terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan.
"Mangsa dikehendaki menjelaskan tunggakan cukai tersebut dengan membuat pindahan wang ke akaun bank pihak ketiga yang dipercayai digunakan sebagai keldai akaun.
"Terdapat juga kes mangsa dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai LHDN atau pegawai polis dan memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak seterusnya mengarahkan mangsa untuk memuat turun aplikasi palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu yang dikatakan milik BNM bagi tujuan siasatan.
"Setelah aplikasi tersebut dimuat turun oleh mangsa, maka akan bermulalah operasi scammer tersebut memecah masuk akaun bank mangsa secara dalam talian kerana mereka dipercayai telah mengetahui username (nama pengguna) dan password (kata laluan) perbankan dalam talian mangsa," jelasnya.
LHDN menambah, MO yang lain adalah di mana mangsa akan dihubungi oleh 'pegawai LHDN' dengan menggunakan teknik spoofing iaitu penyamaran kepada talian telefon rasmi agensi itu.
"Ini merupakan teknik terkini scammer kerana talian telefon yang digunakan seakan-akan talian yang sebenar dan mangsa akan terpedaya dan beranggapan ia adalah talian rasmi LHDN.
"Mangsa yang panik akan memberikan maklumat sulit kepada scammer kerana ugutan dan tekanan dengan tuduhan-tuduhan yang tidak dilakukan mangsa.
"Mangsa mula menyedari diri mereka ditipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka telah dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga (keldai akaun) dan suspek tidak dapat dihubungi semula," jelasnya.
LHDN dalam masa sama turut menegaskan pegawainya terikat dengan kerahsiaan di bawah Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967 (kerahsiaan maklumat pembayar cukai) di mana maklumat peribadi pembayar cukai tidak sama sekali boleh didedahkan kepada pihak ketiga.
"Justeru itu, orang ramai diminta berhati-hati agar tidak terjerat dengan perangkap scammer dan segera menghubungi talian Hasil Care Line (HCL) atau talian pegawai yang boleh disemak senarainya di portal rasmi www.hasil.gov.my.
"Atau hadir ke cawangan LHDN berhampiran sekiranya terdapat sebarang kemusyilan berkenaan hal percukaian," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!