50 rumah rosak dilanda ribut di Perlis

Antara rumah penduduk yang rosak dilanda ribut. - Foto FB MAIPs.
Antara rumah penduduk yang rosak dilanda ribut. - Foto FB MAIPs.
A
A
A
PADANG BESAR - Kira-kira 50 buah rumah mengalami kerosakan akibat kejadian ribut yang melanda seluruh Perlis pagi Selasa.

Pegawai Penyelaras Zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Shuhaimi Nordin berkata, sehingga petang ini, pihaknya menerima laporan 50 buah rumah mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda Perlis bermula kira-kira 10 pagi tadi.

"Mangsa diminta agar segera membuat laporan polis dan mengisi borang permohonan bantuan daripada MAIPs,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata, bagaimanapun anggaran sebenar kerosakan dan rumah terlibat masih belum diketahui.

Katanya, antara kawasan yang terjejas ialah Mata Ayer, Kampung Panggas Kechil, Kampung Lubok Besar, Kuala Perlis, Padang Pauh dan Lubuk Sireh.

Salah seorang mangsa Rosnah Daud, 74, berkata, beliau reda dengan apa yang berlaku.

"Mak cik tidak mampu buat apa-apa namun reda dengan takdir Allah, namun rumah pusaka berusia 100 tahun menyimpan banyak kenangan,” katanya yang tinggal di Kampung Lubok Besar bersama seorang cucunya, Muhammad Amir Ashraf, 15.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, ketika ketika kejadian beliau sedang mengoreng daging korban untuk makan tengah hari.

"Alhamdulillah nasib baik ketika ribut mak cik berada di dapur dan bahagian ruang tamu rumah yang roboh,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman, Sitina Ali, 65, dari Kampung Panggas Kechil berkata, beliau hanya menyedari bumbung rumahnya diterbangkan ribut setelah mendengar jeritan cucunya Nor Anati Umarah Muhamad Hairi, 17, yang ketika kejadian, berada di bilik.

"Masa kejadian kira-kira 11.30 pagi makcik sedang jemur kain di dapur, bila dengan jeritan cucu.. makcik terus ke bahagian hadapan bagi melihat keadaan beliau.. Alhamdulillah semua selamat,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!