Hidangan RM3.50 di IPT bantu ringan beban penuntut
Inisiatif IPT berkenaan secara langsung menyahut saranan Kementerian Pengajian Tinggi supaya pihak IPT menyediakan jualan makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.
Antara IPT awam setakat ini yang sedang melaksanakan inisiatif berkenaan ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaya (UM).
Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Nuruliman Ibrahim berkata, pihaknya melaksanakan jualan makanan serendah RM3.50 bagi kepada kesemua warga UPM di bawah inisiatif Menu Kasih Pelajar Keluarga Malaysia sejak 8 Julai lepas.
"Sebelum ini makanan yang dijual adalah sekitar RM7 sehingga RM8. Namun, dengan pelaksanaan usaha ini, semua penuntut serta warga kerja UPM mampu membeli makanan serendah RM3.50.
"Ini membolehkan mereka mendapatkan hidangan lengkap dan bernutrisi dengan harga berpatutan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.
Selain itu, Nuruliman turut berkongsi bahawa perbincangan lanjut berhubung perkara itu akan dilaksanakan pada mesyuarat petang ini antara naib canselor IPT tempatan bersama pihak kementerian.
Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 bagi setiap hidangan akan diperkenalkan menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia, pada 4 Julai lepas.
Sementara itu, mahasiswa semester akhir jurusan Sarjana Muda Pendidikan, Bimbingan dan Kaunseling UPM, Ahmad Khairul Amir Kamaluddin, 24, berkata, inisiatif itu memang baik kerana ia dapat meringankan beban kos harian mahasiswa.
Ahmad Khairul yang kini menjalani latihan industri sebagai guru kaunseling dan perniagaan di Putrajaya berharap pemantauan berkala di gerai-gerai peniaga terbabit dapat dilaksanakan pihak universiti agar kualiti serta kuantiti makanan sentiasa pada tahap terbaik.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Eliezer Nevall Anthony berkata, program sedemikian dilihat membantu penuntut di UMS yang hampir 60 peratus terdiri daripada golongan B40.
"Program sebegini amat baik dilakukan oleh pihak universiti bagi menjaga kebajikan penuntut yang kurang berkemampuan. Harga RM3.50 yang dilaksanakan dengan beberapa pilihan menu adalah mencukupi untuk keperluan makanan harian penuntut di sini dan mereka berpuas hati,” katanya.
Beliau bagaimanapun menyarankan agar pelaksanaan program itu dibuat secara menyeluruh di dalam kampus itu memandangkan buat masa ini ianya ia hanya dilaksanakan di kafeteria tertentu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!