Peluang saksikan anak watan beraksi di GP Malaysia kembali menyala

Muhammad Zulfahmi
Muhammad Zulfahmi
A
A
A

HARAPAN peminat permotoran negara untuk menyaksikan anak watan memperagakan kehebatan di perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini, masih menyala.

Pengurus SIC Racing, Muhammad Zulfahmi Khairuddin berkata, usaha untuk memastikan pelumba negara mendapat tiket wild card bagi beraksi di Sepang sedang giat berjalan.

Tanpa mendedahkan nama, bekas pelumba Moto2 negara itu berkata, beliau kini di Portugal bagi mengintai peluang kerjasama bersama beberapa pasukan antarabangsa, selain pihak terlibat berhubung perkara tersebut.

Katanya, di sebalik keghairahan untuk melihat wakil negara beraksi di Sepang, banyak aspek perlu dipertimbangkan antaranya jadual perlumbaan padat yang terpaksa dilalui pelumba sekiranya mendapat tiket wild card tersebut.

“Ada banyak perkara kita kena ambil kira sebab seminggu selepas GP Malaysia adalah Kejuaraan Dunia JuniorGP di Valencia, jadi (jadual) memang betul-betul padat dan kita juga nak kena cari motosikal simpanan sebab tak boleh bawa jentera dari JuniorGP.

“Terdapat banyak tindakan di belakang tabir, jadi kami akan uruskan sehabis baik untuk jadikan (jayakan) wild card di Sepang nanti,” katanya pada sidang media secara maya, pada Selasa.

Sebelum ini media tempatan melaporkan pelumba negara, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok disebut-sebut sebagai pilihan mengisi slot wild card Moto3 di GP Malaysia berdasarkan prestasi yang ditampilkan dalam kempen Kejuaraan Dunia JuniorGP musim ini.

Bagaimanapun, beliau berkata: “Pelumba tersebut tidak boleh diumumkan lagi, kemungkinan besar Damok tetapi saya tak boleh mengesahkan perkara itu buat masa ini, mungkin pada saat akhir tak dapat pengesahan IRTA (Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa),”.

Menurut beliau, pengesahan daripada IRTA akan diterima kira-kira dua minggu sebelum perlumbaan berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober depan.

Sementara itu, Damok yang mewakili SIC Racing berazam meneruskan momentum cemerlang pada perlumbaan kelima JuniorGP di Litar Antarabangsa Algarve di Partimao, Portugal minggu ini.

“Saya sasar untuk menaiki podium sekali lagi bagi mendapat kembali kedudukan tiga terbaik dalam kedudukan pelumba....dari segi jentera saya akan kekalkan setup dari perlumbaan terakhir dan saya yakin dengan jentera dan pasukan boleh bawa saya kembali ke podium seperti di Barcelona,” katanya.

Damok meraih tempat kedua dalam dua perlumbaan di Litar de Barcelona di Sepanyol minggu lepas, sekali gus menghuni tempat kelima daripada 36 pelumba dengan mengumpul 77 mata keseluruhan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!