Aaron-Wooi Yik perlu bangkit cari penawar sendiri
LEGENDA badminton negara, Datuk Cheah Soon Kit percaya isu prestasi beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dapat diselesaikan jika mereka dapat memberi sepenuh tumpuan ke arah perkara itu.
Menurut Soon Kit, ini juga merupakan masa terbaik buat Aaron-Wooi Yik untuk kembali menilai semula prestasi masing-masing sejak mereka mula digandingkan pada 2017.
“Mereka perlu duduk berbincang dan mencari penyelesaian bersama-sama. Kadangkala sampai pada satu tahap seperti yang dialami Aaron-Wooi Yik ketika ini, ia melibatkan antara anda dan pasangan anda.
“Mereka perlu berusaha menyelesaikan masalah ini dengan segera. Aaron-Wooi Yik tidak harus meletakkan harapan kepada orang lain dalam menyelesaikan masalah mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Soon Kit yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih beregu negara merupakan antara watak penting dalam menggilap barisan pelapis negara sebelum ini.
Aaron-Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani antara produk muda yang menyinar pada ketika era beregu utama negara terarah kepada aura gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong.
Menurut Soon Kit, saling berkomunikasi secara efektif baik di dalam mahupun di luar gelanggang merupakan kaedah terbaik dalam menyelesaikan sebarang masalah.
“Sekiranya masalah berpunca daripada pasangan anda, maka anda perlu memainkan peranan memberikan motivasi begitu juga sebaliknya.
“Namun jika masalah itu hadir dari dalam diri sendiri, maka anda perlulah berusaha untuk menyelesaikannya dengan motivasi. Dalam apa keadaan sekalipun penyelesaian perlu dicari segera,” ujarnya.
Pada masa sama, Soon Kit menyarankan Aaron-Wooi Yik mendapatkan pandangan atau nasihat daripada bekas pemain negara sekiranya berhasrat menyelesaikan segera masalah prestasi yang dihadapi mereka.
“Tak jadi masalah jika mereka mendapatkan pandangan dalam kalangan bekas pemain negara. Saya percaya pemain bekas pemain juga tidak ada masalah berkongsi segala pengalaman mereka.
“Cuma Aaron-Wooi Yik perlu mendengar dengan hati terbuka segala nasihat dan pandangan kemudian menyesuaikan pandangan tersebut supaya boleh diaplikasikan dalam menyelesaikan masalah prestasi mereka,” jelasnya.
Soon Kit juga berharap Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky dapat duduk berbincang bersama Aaron-Wooi Yik dalam menyelesaikan masalah yang ada.
“Coach Rexy dan barisan kejurulatihan juga perlu memainkan lebih proaktif dalam membantu melonjakkan semula prestasi kedua-dua pemain Aaron-Wooi Yik.
“Saya melihat isu prestasi yang melanda pemain beregu negara terutamanya Aaron-Wooi Yik berkait dengan soal dalaman. Masalah ini hanya dapat diselesaikan menerusi perbincangan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!