PPR Batu Muda terus dihimpit masalah lif

Kejadian lif tersangkut sering dialami penduduk Blok D PPR Batu Muda.
Kejadian lif tersangkut sering dialami penduduk Blok D PPR Batu Muda.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masalah lif yang daif dan tidak diselenggara dengan baik terus membelenggu penduduk PPR Batu Muda di sini.

Seorang penduduk, Mohd Rizal Ahmad, 46, berkata, keadaan lif uzur itu menyebabkan dia kurang yakin untuk menggunakan kemudahan tersebut dan lebih rela naik tangga ke unitnya di tingkat empat.

“Mungkin sebab terlalu banyak kes seperti kejadian lif terhempas dilaporkan oleh media menyebabkan saya tidak berani gunakan lif terutama dengan keadaan lif yang bermasalah.

“Sepanjang 15 tahun tinggal di sini, boleh dikira saya naik lif, sampaikan lebih sanggup angkut tong gas menaiki tangga kerana lebih cepat dari menunggu lif,” katanya.

Katanya, isu lif tersebut sepatutnya telah lama diselesaikan bagi mengelak kejadian tidak diingini daripada berlaku.

Tambahnya, penduduk tidak mempunyai pilihan dan terpaksa juga menggunakan kemudahan berkenaan walaupun sedar risiko bakal dihadapi susulan menggunakan lif uzur itu.

“Kes lif tersangkut dan mangsa terperangkap dalam lif juga kerap berlaku di sini serta membimbangkan.

“Kadangkala apabila hanya satu sahaja lif sahaja berfungsi menyebabkan penggunaan digunakan secara berlebihan dan lebih muatan. Ini tambah merisaukan keselamatan penduduk,” katanya.

Lif yang sering rosak menyebabkan penduduk tidak yakin menggunakannya.Blok D PPR Batu Muda.
Lif yang sering rosak menyebabkan penduduk tidak yakin menggunakannya.Blok D PPR Batu Muda.

Seorang lagi penduduk, M Selvamani, 47, bertanyakan status penggantian lif di 67 perumahan awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PPR di ibu negara yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada tahun lepas yang didakwa belum dilaksanakan hingga kini.

“Orang sihat mungkin tiada masalah naik dan turun tangga, tetapi warga emas dan orang yang menghadapi masalah kesihatan seperti saya amat memerlukan kemudahan lif untuk kegunaan seharian.

“Secara peribadi, saya ada buat aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak awal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu sebelum aduan sama dikemukakan sekali lagi baru-baru ini, namun sampai sekarang tiada tindakan diambil,” katanya.

Selenggara betul-betul sementara lif diganti baharu

Sementara itu, Ketua Blok D PPR Batu Muda, Abdul Khalid Abdul Karim berharap ada tindakan bagi mengatasi isu lif tersebut bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti lif terhempas hingga meragut nyawa.

Beliau berkata, setiap bulan tidak kurang tiga atau empat kali lif di blok D rosak menyebabkan penduduk menjadi berang kerana ia isu sama berulang.

Menurutnya, kesemua tiga lif di blok berkenaan bermasalah kerana telah berusia lebih 15 tahun dan perlu diganti baharu.

Penduduk terpaksa memikul tong gas setiap kali lif rosak.
Penduduk terpaksa memikul tong gas setiap kali lif rosak.

“Satu lif sudah enam bulan ditutup akibat rosak, lif bomba pula hanya boleh boleh digunakan untuk kegunaan naik dan tidak boleh menurunkan penghuni dari setiap tingkat manakala satu lif lagi kerap rosak.

“Setiap bulan pasti ada kes lif rosak. Apabila buat aduan, ada yang datang baiki, tetapi sekadar melepas batuk di tangga, baiki pagi kadang kala malam rosak semula,” katanya.

Katanya, dia berharap semua lif di kawasan tersebut diselenggara sepenuhnya sementara menunggu kerja pengganti lif baharu dilakukan.

“Berapa lama penduduk perlu tunggu. Jika hingga Disember ini mungkin penduduk boleh bersabar lagi.

“Tetapi jika sehingga tahun depan, kami merayu agar kesemua lif ini diselenggara betul-betul dan boleh digunakan sepenuhnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!