[VIDEO] Pejuang terima pandangan Daim, PH anggap amaran
SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menerima pandangan yang dikemukakan oleh ahli politik veteran, Tun Daim Zainuddin berhubung parti itu mungkin tidak mampu bertahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, sebagai parti baharu, Pejuang tidak menolak sebarang kritikan, sokongan dan komentar yang dibuat.
“Bagi saya, perkara itu bukan untuk melemahkan semangat kita. Tetapi saya menganggap ia sebagai satu motivasi untuk Pejuang meneruskan perjuangan bagi menghadapi PRU yang akan datang.
“Yang penting bagi kita adalah dasar perjuangan kita terutama kepada agama, bangsa dan negara untuk kita mengembalikan balik kuasa yang telah dirosakkan oleh pimpinan Melayu sendiri iaitu UMNO dan sekutunya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Daim sebelum ini dilapor menjangkakan Pas akan memperoleh lebih banyak kerusi pada PRU akan datang berikutan perpecahan dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Daim berkata, parti serpihan seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pejuang mungkin tidak mampu bertahan pada PRU15.
Bekas Menteri Kewangan itu juga berkata, parti dalam PH akan kehilangan sebilangan kerusi yang dimenangi pada 2018.
Menyentuh perkara itu, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil menganggap apa yang dinyatakan oleh Daim sebagai satu amaran kepada gabungan itu agar tidak mudah leka dalam mengatur strategi.
“Bagi saya yang penting adalah untuk mencari jalan supaya kemenangan itu memihak kepada PH. Peluang kemenangan itu lebih tinggi untuk PH.
“Apakah faktor-faktornya? Sama ada rakyat merasakan PH dan calon-calonnya bukan setakat bersih tetapi mampu memberi penyelesaian tuntas dan menyeluruh kepada masalah rakyat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!